Tahukah anda, Barbie iaitu anak patung fesyen yang Amerika Syarikat telahpun berusia hampir 63 tahun? Ia pertama kali dilancarkan pada 9 Mac 1959 oleh syarikat mainan yang dikenali sebagai Mattel Inc.

Barbie atau nama penuhnya Barbara Millicent Roberts merupakan anak patung plastik dengan ketinggian 11 inci dan dibentuk mengikut figura wanita dewasa. Diasaskan oleh Ruth Handler bersama suaminya, Elliot, Mattel Inc. menerajui pasaran anak patung sehingga kini dengan menampilkan lebih dari puluhan ribu anak patung yang berbeza warna kulit dan gaya rambut di seluruh dunia.

Bercakap mengenai Barbie lagi, baru-baru ini syarikat pengeluar anak patung itu dilihat mengeluarkan set anak patung baharu pada bulan Jun 2022 sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya ke arah kepelbagaian dan keterangkuman.

Mattel Inc mencipta Barbie pertama yang menggunakan alat bantu pendengaran. Malah, untuk Ken pula iaitu anak patung yang dikatakan teman lelaki kepada Barbie pula ditampilkan dengan variasi keadaan kulit vitiligo.

Pengenalan ini adalah bertujuan untuk menggalakkan dan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang kepelbagaian individu di seluruh dunia. Ia juga secara tidak langsung membantu mereka memahami dan meraikan kepentingan penerimaan semua individu di dalam komuniti.

Dengan ini, perubahan yang telah dibuat pada jenis badan Barbie telah menghilangkan stereotaip orang ramai ke atas tahap kecantikan seseorang.

Untuk Barbie dengan alat bantuan pendengaran, syarikat itu mendapatkan kepakaran Dr. Jen Richardson, seorang pengamal terkemuka dalam audiologi pendidikan, dalam menghasilkan peranti belakang telinga untuk mainan itu dengan lebih tepat selain tidak bercanggah dengan jenis peranti yang sedia digunakan oleh pakar di industri kesihatan global.