GSK Malaysia komited dalam melaksanakan usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar menjelang 2030 menerusi pelancaran kempen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang dipanggil #GiveBack.

Untuk kempen ini, ia memfokuskan kepada pelupusan selamat dan bertanggungjawab bagi penyedut untuk penyakit asma yang lama dan terpakai. Setakat ini, lebih 50 cawangan Big Pharmacy di seluruh Lembah Klang dan Seremban telah menyertai kerjasama ini dan tidak lama lagi akan diperluaskan kepada kempen di seluruh negara.

Sepanjang fasa kempen ini, pesakit digalakkan untuk meletakkan inhaler atau alat penyedut kesihatan terpakai, tidak diingini atau tamat tempoh di farmasi yang mengambil bahagian untuk membantu mengurangkan sisa plastik dan kesan buruk bahan dorong terhadap alam sekitar.

Bergerak ke hadapan, kesemua alat penyedut kesihatan akan dikumpul untuk dikitar semula menjadi bahan yang boleh digunakan seperti bahan untuk artis tempatan mencipta pemasangan seni.

Tinjauan penduduk yang dijalankan di Malaysia mendedahkan bahawa hampir dua pertiga daripada pesakit asma (60.5%) mempunyai tahap celik kesihatan yang terhad berkaitan dengan penggunaan inhaler atau alat penyedut kesihatan yang tidak betul dan pengetahuan yang lemah tentang asma.

Asma didapati kurang diutamakan berbanding penyakit jangka panjang yang lain di Malaysia seperti diabetes, ditambah pula dengan kekurangan dana dan perhatian dari sudut dasar kesihatan.

Penggunaan inhaler meninggalkan kesan yang ketara kepada alam sekitar. Penyedut dos bermeter bertekanan (pMDI) dengan 10g propelan boleh meninggalkan jejak karbon sebanyak 13-33kg2 sementara propelan pula adalah gas rumah hijau yang seribu kali lebih kuat daripada karbon dioksida.