Selain servis sewa kereta dan sewa ruang untuk acara, kini individu nampaknya boleh mula melakukan sewa peralatan elektrik menerusi skim sewa milik KHIND yang dikuasakan oleh SubPlace.

Ia merupakan skim sewa milik yang pertama pernah diperkenalkan kepada umum yang dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan penyelesaian yang mampu milik kepada yang memerlukan. Dengan adanya servis seperti ini, ia bukan sahaja memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan rangkaian produk mereka tetapi juga bertukar kepada peralatan rumah yang berkualiti dan boleh dipercayai.

Bagi anda yang berminat, servis sewa milik ini menawarkan transaksi pembayaran secara ansuran dan kemudiannya menerima pemilikan penuh selepas bayaran ansuran selesai.

Antara produk yang ditawarkan adalah mesin basuh dan pengering KHIND. Ia hadir dengan pelan ansuran sewa milik yang berbagai iaitu:

  • 36 bulan dengan bayaran RM 99 sebulan
  • 24 bulan dengan bayaran RM 139 sebulan
  • 12 bulan dengan bayaran RM 259 sebulan

Bagi memastikan mesin beroperasi dengan kecekapan optimum, KHIND juga menawarkan pelan penjagaan tahunan percuma yang bernilai RM 400 setiap servis sepanjang tempoh pembayaran, tanpa mengira pelan yang dipilih.

Dengan ini, caj untuk pengarasan, pembersihan dan pembasmian kuman (tumbler) mesin, dan pembersihan pelbagai komponen termasuk injap salur masuk, penapis pam saliran keluar dan laci sabun pencuci tidak akan dikenalkan.

Walau bagaimanapun, setakat ini skim sewa milik tersebut ditawarkan kepada penduduk di Lembah Klang terlebih dahulu dan dijangka akan meliputi kawasan lain di Malaysia pada masa hadapan. Untuk menggunakannya, hanya perlu layari laman rasmi KHIND atau WhatsApp +6018 223 3389.