Dior atau Christian Dior merupakan salah satu jenama mewah yang menawarkan pelbagai koleksi fesyen yang menarik merangkumi pakaian untuk wanita dan juga lelaki. Ia menampilkan variasi jenis koleksi tidak kira untuk gaya formal mahupun santai sesuai untuk pelbagai acara.
Tidak ketinggalan, ia turut hadir dengan barisan produk kecantikan dan alat solek yang boleh didapati menerusi pembelian di kedai fizikal atau pesanan atas-talian. Antara produk yang menjadi kegemaran ramai adalah bedak asas dari Dior.
Baru-baru ini, berdasarkan perkongsian Dior di laman rasmi mereka, ia menunjukkan bahawa jenama mewah tersebut telah mula memperkenalkan set berkebun kepada umum.

Penawaran ini dikatakan adalah bertujuan meraikan Mr.Dior yang meminati aktiviti berkebun dan bercucuk tanam. Direka khas oleh Kim Jones, set berkebun ini hadir dalam 2 pilihan warna iaitu hitam dan beige.
Menurut Kim Jones juga, kesemua alat-alat bertukang dan berkebun yang ditampilkan adalah cukup eksklusif yang mana pada bahagian pemegangnya, beliau menggunakan kulit asli yang biasa terdapat pada bag ikonik dior iaitu Saddle Bag.


Di dalam set ini, anda akan mendapat rak simpanan alat berkebun bersama-sama dengan sudip dan serampang tangan. Menyerlahkan eksklusiviti set ini, ia menyertakan bersama tandatangan ‘DIOR’ yang terukir di hujung pemegang.

Bagi yang berminat, set berkebun ini atau dikenali sebagai Dior Gardening Set ini ditawarkan pada harga RM43,000 satu set. Untuk mendapatkannya, layari laman rasmi Dior bermula hari ini.