Pernahkah anda mempunyai kerisauan dan bimbang sekiranya penggunaan sesuatu produk kosmetik boleh mencetuskan kesan yang buruk pada kulit?

Mana tidaknya, jika anda lihat pada perkongsian di media massa dan media sosial, terdapat beberapa kes yang berlaku dalam kalangan wanita adalah disebabkan oleh penggunaan produk kosmetik yang tidak bersesuaian.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda melakukan penyelidikan awal sebelum menggunakan sesuatu produk dengan cara mengenalpasti bahan-bahan yang digunakan pada label yang dicetak.

Luangkan Masa Anda Menerokai Bahan-Bahan Utama Yang Terkandung Di Dalam Produk Kosmetik

Contoh produk kosmetik yang dimaksudkan termasuklah bedak asas dan maskara, losyen muka dan badan, sabun dan syampu, produk penggayaan rambut, deodoran, ubat gigi, pewarna rambut dan pengilat kuku.

Walaupun sesetengah produk sering dianggap selamat, namun itu tidak bermakna tiada risiko yang berkaitan dengan penggunaannya, terutamanya jika anda tidak menggunakannya dengan betul.

Beberapa kebimbangan keselamatan yang mungkin dikaitkan dengan kosmetik dan produk penjagaan diri melibatkan:

  • Jangkitan mata
  • Penyebaran bakteria pada kulit
  • Kerengsaan dan kemerahan yang boleh menjadi lebih kronik

Oleh sebab itu, pastikan anda menggunakan kosmetik dan produk penjagaan diri dengan betul supaya ia dapat membantu mengurangkan banyak risiko. Antara tabiat yang perlu mula diterapkan oleh setiap individu adalah mencuci kosmetik sebelum anda tidur dan tidak berkongsi sebarang produk peribadi untuk mengelakkan penyebaran bakteria.

Bagaimana Anda Boleh Mengetahui Produk Kosmetik Yang Ditawarkan Telah Sedia Diuji?

Untuk mengetahui sama ada produk tersebut telah diuji, anda boleh mencari label produk atau melakukan semakan di laman rasmi NPRA. (Pautan semakan)

Selain itu, baca pada label dengan teliti tentang bahan-bahan yang terkandung di dalam produk. Elakkan daripada menggunakan produk yang mengandungi 3 bahan ini:

  • Hydroquinone adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan. Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif dan menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
  • Merkuri pula adalah bahan yang terkandung di dalam produk kosmetik yang boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan selain turut menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
  • Tretinoin juga merupakan bahan yang perlu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Sekiranya bahan ini terkandung di dalam produk tanpa pengawasan, ia boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Selain dari tiga bahan kimia ini, antara bahan lain yang perlu diteliti untuk keselamatan adalah paraben dan phthalates.

Paraben adalah bahan pengawet yang menghalang pertumbuhan bakteria dalam produk penjagaan diri dan kosmetik. Walaupun satu kajian mencadangkan kemungkinan hubungan antara paraben dan kanser payudara, kajian lanjut tidak mencapai kesimpulan yang sama. Tahap paraben yang digunakan dalam produk penjagaan diri hari ini dianggap selamat, walaupun paraben (dan bahan lain) boleh menyebabkan kerengsaan atau tindak balas alahan pada sesetengah orang.

Phthalates pula digunakan untuk mempertingkatkan formula rangkaian kosmetik dan produk penjagaan diri seperti syampu dna pengilat kuku. Ia boleh digunakan sebagai pelarut dan bahan fiksatif minyak wangi atau untuk membantu mengelakkan kekakuan dalam semburan rambut serta mengurangkan rekahan pada pengilat kuku.

Sumber: Pharmacy GOV, URMC