Khusus untuk penggemar Starbucks, nampaknya jenama ini hadir dengan kerjasama bersama Samsung dalam menawarkan rekaan kerangka yang unik dan terhad untuk Samsung Buds2, Samsung Galaxy S22, Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra.

Dengan menggunakan warna ikonik Starbucks iaitu hijau dan putih, kesemua kerangka ini dilihat menampilkan rekaan corak yang cukup minimalis dan sesuai digayakan dalam fesyen harian tanpa menjejaskan fungsi asal peranti.

Apa yang menarik perhatian Tajria adalah penawaran kerangka Buds2 dalam bentuk cawan kopi yang berwarna putih dan dihiasi dengan logo Starbucks pada bahagian sisi. Jika dilihat sekilas, ia seakan secawan latte miniatur yang biasa dihidangkan kepada umum.

Selain daripada kerangka Buds, Starbucks turut hadir dengan beberapa pilihan rekaan untuk kerangka plastik Samsung Galaxy S22, Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra. Antara rekaan yang ditawarkan termasuklah kerangka hijau gelap yang kosong bersama tali bercorak resit, kerangka dengan teks ‘Count St*rs In Your Galaxy’ dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, kesemua aksesori ini tidak ditawarkan secara meluas dan hanya terhad untuk pasaran Korea Selatan sahaja.