Direka dan dihias selari dengan trend semasa di kebanyakan kedai buku persendirian yang mementingkan konsep estetik, nampaknya Tsutaya Books akan menjadi salah satu lokasi persinggahan untuk orang ramai lebih-lebih lagi komuniti buku dalam menghabiskan masa menerokai pelbagai jenis buku yang digemari.

Terletak di Lot 2.89.00, aras 2 Orange Zone, Pavilion Bukit Jalil, Tsutaya Books telah memperkenalkan cawangan pertama mereka di Malaysia. Bagi yang tidak mengetahui, ia merupakan rangkaian kedai buku terbesar Jepun dengan lebih daripada 1,400 kedai di Jepun, Taiwan dan China.

Kedai ini akan menampilkan konsep unik bertemakan Cultivate Culture & Lifestyle yang mana ia menggalakkan orang ramai untuk menikmati suasana kedai buku yang harmoni di samping berada di dalam ruangan yang luas dan tenang.

Untuk pengetahuan anda, Tsutaya Books hadir dengan keluasan 31,000 kaki persegi dan dijangkakan menawarkan ruangan yang mencukupi untuk pelbagai aktiviti dan acara.

Tidak hanya menampilkan konsep kedai buku yang unik dan minimalis ala-ala Japandi yang menggabungkan garis halus dan moden Scandinavia bersama keanggunan estetika Jepun, Tsutaya Books turut hadir dengan ruang kafe untuk pengunjung yang ingin menikmati secangkir kopi.

Mengenai penawaran buku pula, sekiranya anda tidak mengetahui buku apa yang perlu anda dapatkan, kedai buku dari Jepun ini juga hadir dengan servis profesional yang akan memberikan cadangan buku yang bersesuaian mengikut genre buku dan pilihan bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin.

Bagi anda yang ingin mengunjungi ke Tsutaya Books Pavilion Bukit Jalil, ia akan mula dibuka kepada umum pada 7 Julai 2022 bermula jam 3 petang.