Sungai memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesejahteraan alam sekitar. Ia bukan sahaja memberikan kehidupan kepada flora dan fauna di mana sahaja ia mengalir tetapi juga kepada kehidupan sekeliling.
Namun, akibat daripada kelalaian manusia, kebanyakan sungai-sungai di Malaysia mula dipenuhi dengan sisa dan sampah yang kotor dan sekaligus menyebabkan kemerosotan kualiti air. Tidak hanya itu, ia telah mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai akan ketersediaan sumber air yang bersih untuk digunakan dalam aktiviti harian

Oleh sebab itu, Etika Sdn Bhd, salah satu pengeluar minuman halal terkemuka di Malaysia seperti Mirinda, Tropicana, Wonda dan banya lagi telah bertekad untuk menangani isu ini dengan memperkenalkan kempen “It’s Time for Our River”, demi mengukuhkan lagi komitmen mereka ke arah kelestarian sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.
“It’s Time for Our River” adalah hasil kerjasama dengan salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dianjurkan untuk mempromosikan rawatan kualiti air sungai melalui pameran yang menggunakan pendekatan biologi di samping mendidik ahli komuniti mengenai kepentingan pemeliharaan sumber air kita.
Sepanjang kempen ini berlangsung, Etika bersama-sama dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM telah hadir dengan satu program pembersihan sungai pertama mereka yang diadakan baru-baru ini di Taman Rekreasi Sungai Langat Bangi yang dihadiri lebih daripada 300 peserta.

Selain daripada aktiviti pembersihan, Etika dan UKM turut menyediakan beberapa pameran untuk mendidik masyarakat tentang cara memelihara dan menilai kesihatan sungai melalui pelbagai aktiviti pemuliharaan biodiversiti seperti demo pensampelan air dan analisis kualiti air oleh Pusat Analisis dan Penyelidikan Air (ALIR), demonstrasi dron oleh AQUASense dan banyak lagi.
Bergerak ke hadapan, Etika juga telah hadir dengan pelan hala tuju untuk masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan melalui projek lain seperti pemasangan panel solar, pembelian Tenaga Hijau dari grid, kitar semula sisa tumbuhan kepada baja untuk mengurangkan tapak pelupusan dan usaha lain yang akan mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan air.