Carian
Sindiket Doktor Gigi Palsu Punca Ramai Golongan Muda Di Lembah Klang Alami Kerosakan Gigi
June 29, 2022 Lina Rosli

Isu mengenai doktor gigi palsu ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu. Lebih-lebih lagi di kawasan yang mana individu tidak celik tentang asas penjagaan gigi seperti keperluan pemasangan pendakap gigi dilaksanakan oleh doktor gigi atau pakar ortodontik yang terlatih.

Tidak dinafikan, terdapat banyak perbezaan antara servis yang ditawarkan oleh doktor gigi palsu jika dibandingkan dengan pakar yang bertauliah. Ia boleh dilihat dari segi ruang atau bilik untuk perlaksanaan perkhidmatan gigi yang mana ia sering dilakukan di kawasan yang tidak bersesuaian seperti rumah tumpangan, salun kecantikan dan sebagainya.

Manakala, klinik gigi yang diperakui pula hadir dengan fasiliti yang lengkap dan mempunyai kelulusan daripada jabatan yang berkaitan.

Bukan itu sahaja, kebanyakan doktor gigi palsu ini akan memasang pendakap yang kelihatan sama seperti aplian tetap ortodontik. Namun, ianya dipasang tanpa melakukan sebarang pemeriksaan yang betul, penggunaan komponen yang mudah karat dan juga tidak diiktiraf.

Di samping itu, pendakap gigi palsu ini biasanya dibeli secara atas-talian sama ada di laman Instagram, Facebook dan Twitter. Malah, ada juga yang mendapatkannya dari dagangan haram yang boleh didapati pada harga yang murah.

Untuk pengetahuan anda, rata-rata mangsa doktor gigi palsu di Lembah Klang adalah dari kalangan golongan muda di Lembah Klang. Ia berikutan kekangan wang tunai yang menjadikan mereka memilih untuk mendapatkan servis yang murah dan cepat.

Berdasarkan perkongsian Pengarah Kanan (Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Noormi Othman, servis pendakap gigi yang disediakan oleh doktor gigi palsu adalah serendah RM200 sehingga RM600. Maka, tidak hairanlah ia menjadi pilihan ramai individu kerana harga yang ditawarkan di klinik pakar boleh mencecah sehingga RM8,000.

Sumber: Utusan

Komen