Bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun 2022 yang lalu, McDonald’s Malaysia telah menganjurkan Pacuan Derma Darah atau Blood Donation Drive. Pelaksanaan acara ini dilakukan dengan kerjasama Pusat Darah Negara, di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada 30 Jun 2022.

Menurut McDonald’s Malaysia, acara ini diadakan bagi membantu menggalakkan dan memberi kesedaran kepada orang ramai akan keadaan semasa bekalan darah yang terdapat di Pusat Darah Negara. Sudah dianjurkan buat kali keenam, Pacuan Derma Darah McDonald’s dilihat sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan jumlah bekalan darah sekaligus menyelamatkan tiga nyawa bagi setiap pek yang didermakan.

Bagi yang berminat, anda boleh mengunjungi ke lokasi derma darah ini iaitu di Bangunan TH Uptown 3 yang terletak di Damansara Utama yang mana bermula jam 11 pagi sehingga jam 6 petang.

Berikut adalah syarat-syarat derma darah yang perlu anda ikuti:

Apakah Syarat Yang Perlu Anda Tepati Jika Ingin Menderma Darah?

Sebelum anda mengunjungi ke Pusat Derma Darah yang dibuka, terdapat beberapa syarat yang perlu anda ketahui:

  • Sihat tubuh badan
  • Berumur di antara 18-65 tahun untuk yang pernah menderma. Dan berumur di antara 18-60 tahun untuk pertama kali menderma.
  • Berat badan 45kg ke atas.
  • Bagi penderma wanita; tidak mengandung, tidak datang haid, tidak menyusukan anak.
  • Tiada masalah kesihatan.

Selain itu, pastikan anda telah makan dan minum sebelum menderma darah serta mendapat tidur yang cukup iaitu sekurang-kurang 5 jam sehari.