Selepas penawaran dua produk unik di bawah Coca-Cola Creations yang dikenali sebagai Coca-Cola Starlight dan Starshine, jenama dilihat hadir dengan sebuah lagi rasa baharu dan juga berbeza menerusi kolaborasi bersama selebriti global Marshmello iaitu Coca-Cola Marshmello Edisi Terhad.

Menurut Coca-Cola Creations, pemilihan perisa ini adalah berdasarkan rasa digemari oleh Marshmello. Ia merupakan inovasi dari minuman sedia ada yang ditambahbaik dengan perisa luar biasa iaitu gabungan strawberi dan juga tembikai.

Sama seperti produk sebelum ini juga, minuman ini adalah campuran perisa baharu selain hadir dengan rasa yang tidak dijangka oleh penggemar minuman. Rasa yang ditampilkan juga tidak hanya memfokuskan kepada rasa klasik tetapi, rasa dengan nota tambahan yang mengingatkan anda kepada muzik elektronik dan seni digital.

Bertepatan dengan pelancaran perisa baharu ini juga, Coca-Cola menawarkan kod QR yang boleh diimbas oleh pembeli bermula 29 Julai. Ia akan membawa peminat ke hab Coca-Cola Creations, di mana mereka boleh menjana karya seni digital yang unik sambil mengalami perasaan mendengar lagu baharu Marshmello, “Numb”.

Setakat ini, Coca-Cola Marshmello Edisi Terhad ini hanya ditawarkan di Amerika Syarikat sahaja dan dijangka akan diperluaskan di beberapa buah negara terpilih dalam masa terdekat.