Pernahkah anda melihat satu bag biji kopi dan ada tertulis fruity, earthy ataupun buah spesifik seperti limau? Adakah suatu biji kopi itu direndam dengan tanah liat ataupun buah sebagai penambah rasa?

Jawapan pendeknya adalah (besar kemungkinan) tidak. Biji kopi datangnya dari buah kopi, dan sebagai suatu yang organik, terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi penumbuhan pokok yang menghasilkan buah dan biji kopi tersebut. Dari lokasi, spesies sehingga cara pemprosesan biji kopi, terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi rasa minuman kopi dalam cawan anda. Jika pengalaman anda adalah lebih kepada kopi segera ataupun kopi dark roast di tempat seperti Starbucks, besar kemungkinan anda rasakan kopi adalah cuma suatu minuman yang pahit. Tetapi sebenarnya kopi boleh mengandungi pelbagai rasa yang menjadikannya suatu yang rasa sangat kompleks.

Sebagai contoh, saya pernah merasa suatu kopi yang dikenali sebagai Geisha. Ia terjadi lebih kurang dua tahun lepas di sebuah cafe di Kuala Lumpur. Kopi ini semestinya mengubah persepsi saya tentang kopi kerana ia lebih menyerupai rasa teh dari kopi dengan cara ia dibancuh oleh kedai kopi tersebut. Saya masih baru dalam dunia kopi ketika itu tetapi seingat saya, ia memang kuat rasa buah-buahan dan ada manisnya sendiri walaupun kopi itu diminum kosong sahaja. Kenapa tidak saya mencuba lagi selepas itu? Satu, ia hanya ada pada musim tertentu sahaja, kedua, ia memerlukan seorang yang sangat berpengalaman dalam bancuhan kopi untuk ekstrak perisa sepenuhnya dan ketiga, harganya boleh dikatakan diantara 3 hingga 5 kali lebih mahal untuk secawan kalau dibandingkan dengan kopi biasa. 

Coffee Taster’s Flavour Wheel

Pernahkah anda mendengar tentang Coffee Taster’s Flavour Wheel? Ia adalah suatu carta yang direka khas untuk membuat satu profil perisa suatu kopi itu oleh Specialty Coffee Association (SCA). Carta ini dikemas kini terkini pada 2016 bersama World Coffee Research (WCR) dengan kerjasama ahli panel deria profesional, saintis, pembeli kopi dan syarikat pemanggang.

Carta ini sangat membantu untuk seseorang menerangkan dan memahami rasa suatu kopi itu. Anda bermula dari tengah dan merasa kopi anda. Adakah kopi itu mengingatkan anda kepada rasa kebunga-bungaan? Anda pergi ke tab floral. Lepas tu adakah ia mengingatkan anda lebih ke rasa teh atau sejenis bunga? Kalau bunga lain, anda terus ke tab seterusnya dimana ada tiga bunga iaitu Jasmin(melati), rose(ros) atau chamomile? Sudah habis, anda mula kembali pada tengah dan rasa kopi anda lagi. Ada rasa lain yang anda dapat darinya?

Ia mungkin nampak senang tapi bergantung betapa seriusnya anda untuk betul-betul rasa dan analisa kopi anda, ada beberapa langkah yang mungkin merumitkan proses ini. Cara anda merasa kopi boleh menggunakan beberapa teknik. Apakah suhu yang anda merasa kopi anda? Suhu lain mungkin akan memberi sensasi lain pada deria rasa anda.

Ini baru cerita rasa tetapi bagaimana pula mouth feel atau body kopi itu? Adakah ia memberi sejenis aftertaste selepas diminum? Banyak lagi evaluasi anda boleh buatkan untuk tingkatkan pengetahuan kopi anda.