Swarovski X Rosenthal Memperlihatkan Peralatan Makan Porselin Yang Dihiasi Kristal
Lina Rosli
Tidak asing lagi dengan penawaran rekaan kristal yang cukup menawan, nampaknya Swarovski kini hadir dengan sebuah koleksi yang bakal menambah seri di atas meja makan anda yang dikenali sebagai Swarovski X Rosenthal.
Berdasarkan perkongsian di laman rasmi Swarovski, koleksi ini hadir dengan pilihan warna yang cukup menarik di tambah lagi dengan pengenalan corak baharu mereka buat kali yang pertama iaitu Koleksi Signum.

Untuk pengetahuan anda, Koleksi Signum menampilkan rekaan kristal dengan bingkai segi lapan yang disediakan dalam motif yang memukau. Ia mengambil inspirasi daripada pergerakan seni Austria pada abad ke-19 yang memfokuskan kepada pendekatan segar untuk seni, ketukangan dan rasa kecanggihan moden pada meja makan.


Bersama-sama dengan Rosenthal yang merupakan pakar dalam penawaran porselin di Jerman, Koleksi Signum ini menggabungkan elemen kristal pada setiap bahagian produk yang berfungsi sebagai pelengkap untuk mencipta paparan menarik kepada peminat Swarovski.


Bagi yang berminat untuk mendapatkan koleksi ini, ia dijangka bakal tiba di Malaysia yang akan ditawarkan di rangkaian Swarovski Mid Valley Megamall bermula bulah hadapan. Anda boleh mendapatkan sama ada set cawan dan teko untuk teh, set espreso dan set pinggan mangkuk untuk hidangan makan malam dan banyak lagi.
Bukan sekadar itu, ia turut menampilkan produk seni lain sebagai pelengkap meja seperti patung kristal yang unik dan menawan pada harga sekitar RM375 hingga RM695 sebuah.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi Swarovski bermula hari ini.