Peranti perubatan merupakan antara bentuk penjagaan kesihatan yang membantu orang ramai untuk mengetahui dan mengenalpasti tahap kesihatan dalam diri. Menggunakannya, anda boleh melihat perkembangan kesihatan merangkumi tahap kecergasan, tenaga, suasana hati dan juga kesejahteraan mental dan fizikal secara keseluruhan.

Menurut Seksyen 2 Akta 737, peranti perubatan yang dimaksudkan merujuk kepada apa-apa instrumen, radas, alat, mesin, perkakas, implan, reagen in-vitro atau penentukur, perisian, bahan serta barang lain yang serupa atau berkaitan.

Kesemua peranti ini juga cenderung digunakan sama ada secara bersendirian atau secara gabungan, bagi tujuan:

  • diagnosis, pencegahan, pemantauan, rawatan atau pengurangan penyakit
  • pengurangan atau pampasan untuk kecederaan
  • penyiasatan, penggantian, pengubahsuaian, atau sokongan anatomi atau proses fisiologi
  • menyokong atau mengekalkan kehidupan
  • pembasmian kuman peranti perubatan
  • menyediakan maklumat untuk tujuan perubatan atau diagnostik melalui pemeriksaan in vitro spesimen yang diperoleh daripada badan manusia

Oleh sebab itu, sekiranya mana-mana peranti yang digunakan pada badan manusia tidak mendapat kelulusan dan tidak berdaftar, adalah menjadi satu kesalahan sekitanya ia dijual secara meluas di pasaran.

Hal ini kerana, penawaran peranti perubatan ini sangat penting dalam memastikan ia menepati kriteria sesuatu perkara bagi menjamin keselamatan, kesihatan atau risiko orang awam sepanjang penggunaannya.

Semak Peranti Perubatan Anda

Bagi memastikan peranti perubatan yang anda gunakan adalah selamat, terdapat beberapa langkah yang boleh anda praktikkan iaitu:

  1. Lakukan carian awam untuk peranti perubatan yang anda beli di laman MDA.
  2. Sekiranya anda mendapati bahawa peranti yang dibeli tidak tersenarai di laman MDA, anda boleh salurkan aduan anda ke Sistem Pengurusan Maklumbalas MDA atau lebih dikenali sebagai MDA FEMES.
  3. Pastikan maklumat lengkap diisi untuk tujuan penyiasatan dan juga pemprosesan maklumat yang disalurkan.

Apa itu MDA FEMES? Untuk pengetahuan anda, ia merupakan saluran atas-talian yang menguruskan maklumbalas seperti aduan, pertanyaan dan cadangan daripada orang ramai mengenai peranti perubatan.

Akhir sekali, anda juga disyorkan untuk mencari produk yang telah berdaftar dan didapati dari rangkaian farmasi yang sah sebelum anda membeli, kerana ini akan memberikan jaminan terbaik untuk menerima produk yang asli.

Sumber: Portal MDA