Carian
Adakah Anda Perlu Risau Dengan Jangkitan Influenza?
July 6, 2022 Min Ahmad

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan peningkatan kes jangkitan influenza. Malahan, ia turut mencetuskan kluster di kalangan para pelajar di beberapa sekolah berasrama. Namun berdasarkan ulasan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan pada 26 Jun 2022 lalu menerangkan bahawa penularan jangkitan ini tidak perlu dirisaukan kerana kluster influenza berkenaan adalah situasi normal bagi penyakit berjangkit yang wujud dari semasa ke semasa dan bermusim.

Berdasarkan penerangan yang diberikan, benarkah kita tidak perlu risau tentang jangkitan influenza? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu tahu lebih lanjut mengenai penyakit influenza itu sendiri.

Apakah Itu Influenza?

Influenza merupakan penyakit yang diakibatkan oleh virus influenza. Ia menjangkiti saluran pernafasan (hidung, kerongkong dan paru-paru) yang boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius.

Sama seperti jangkitan selesema, influenza merebak melalui titisan air liur atau hingus apabila seorang individu yang dijangkiti bercakap, batuk atau bersin. Selain kontak secara langsung, jangkitan boleh berlaku apabila titisan ini mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu lain yang menyentuh permukaan tersebut. Atas faktor ini, influenza mudah untuk tersebar, tambahan lagi dalam situasi sosial seperti di sekolah dan pejabat.
 
Bagi negara-negara yang beriklim sederhana, jangkitan influenza kerap kali berlaku ketika musim sejuk manakala bagi negara-negara beriklim tropika, jangkitan boleh berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim yang tertentu.

Secara umumnya, influenza terbahagi kepada 4 jenis iaitu:

Gejala Jangkitan dan Golongan Berisiko Mendapat Jangkitan

Influenza yang sedang tersebar ketika ini kebanyakkan merupakan H1N1 dan H3N2 yang merupakan influenza jenis A yang diketahui mudah untuk merebak dan menjangkiti manusia. Ia mempunyai banyak persamaan dengan selesema. Walaupun begitu, bukan semua simptom-simptom selesema merupakan gelaja influenza.

Secara kebiasaannya, gejala influenza akan mula muncul 1 hingga 2 hari selepas seseorang individu itu dijangkiti. Antara simptom-simptom jangkitan termasuklah:

  • Demam
  • Selesema
  • Sakit tekak
  • Batuk
  • Sakit kepala
  • Sakit badan
  • Sukar bernafas
  • Cirit birit dan sakit perut (khususnya di kalangan kanak-kanak) 

Dalam kebanyakan kes, terutamanya bagi mereka yang mempunyai daya tahan immuniti badan yang baik, jangkitan virus influenza hanya akan menyebabkan gejala jangkitan yang ringan. Walaupun begitu, masih ia boleh mendatangkan komplikasi yang buruk, termasuklah kematian bagi golongan yang tertentu.

Antara golongan yang dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan virus influenza dan mengalami komplikasi buruk akibat jangkitan ialah:

  • Kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun
  • Wanita hamil
  • Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas
  • Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, jantung, asma, dan lain-lain)
  • Individu dengan berat badan berlebihan
  • Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah yang diakibatkan oleh kehadiran penyakit lain (kanser, HIV) ataupun menjalani rawatan kemoterapi

Berdasarkan senarai golongan yang berisiko tinggi di atas, tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak dan warga tua yang kita dengari kerap mendapat jangkitan influenza. Apakah yang dilakukan untuk merawat dan mengurangkan risiko jangkitan bagi golongan tersebut?

Rawatan dan Pencegahan

Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit influenza ialah dengan penggunaan ubatan anti-viral yang berkesan untuk membunuh virus yang menjadi punca jangkitan. Walaubagaimanapun, rawatan ini tertakluk kepada hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat seseorang pesakit. Apa yang penting ialah rawatan segera perlu diberikan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih buruk berlaku. Oleh yang sedemikian, anda disarankan untuk membuat ujian kendiri dengan menggunakan kit ujian influenza yang kini sudah mula dijual di farmasi-farmasi sekiranya mula bergejala dan terus mendapatkan rawatan sekiranya positif jangkitan influenza.

Cara yang terbaik untuk mencegah jangkitan influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara berkala di kebanyakan klinik atau hospital swasta. Ia boleh diambil oleh semua termasuklah bayi seawal umur 6 bulan.

Vaksinasi influenza (Vaxigrip Tetra(R) untuk tahun 2022)

Vaksin influenza perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin influenza perlu dikemaskini berdasarkan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan kandungannya sepadan dengan virus influenza yang dijangka akan menular pada setiap musim. Ini adalah kerana struktur virus influenza akan mengalami perubahan secara berterusan dan proses ini dikenali sebagai antigenic drift. Maka vaksinasi yang diberikan haruslah bersesuaian dengan perubahan virus untuk mengelakkan rintangan terhadap vaksinasi.

Selain dari mendapatkan vaksin influenza, anda juga boleh mengamalkan langkah pencegahan seperti berikut:

  • Membasuh tangan dengan kerap dengan menggunakan air dan sabun; atau hand sanitizer;
  • Menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin;
  • Memakai pelitup muka apabila ke tempat yang sesak dengan orang ramai/ kawasan indoor;
  • Membuang tisu atau pelitup muka yang telah digunakan ke dalam tong sampah yang bertutup setelah ia tidak lagi digunakan;
  • Menjarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak 1 meter;
  • Mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sebaiknya duduk berehat sahaja di rumah sehingga pulih daripada gelaja. Namun begitu, sekiranya perlu juga untuk ke tempat awam, gunakanlah pelitup muka.

Jadi, Adakah Anda Perlu Risau Dengan Jangkitan Influenza?

Sekiranya anda bukanlah golongan yang berisiko tinggi, anda tidak perlu risau akan bahaya jangkitan influenza. Anda dan keluarga juga boleh medapatkan perlindungan vaksinasi daripada jangkitan influenza sekiranya bimbang dengan jangkitan penyakit ini yang pada masa ini merebak dengan cepat. Namun begitu, sekiranya anda dijangkiti, influenza boleh untuk dirawat sekiranya mendapatkan rawatan dengan segera.

Tambahan lagi, seperti semua penyakit yang menyerupai selesema, anda perlu menitikberatkan kebersihan diri, memastikan anda memakai pelitup muka di kawasan tertutup/ di tempat yang sesak dan mengamalkan penjarakan sosial.

Komen