Serigala atau nama saintifiknya Canis Lupus berasal daripada keluarga Canidae. Haiwan ini dikatakan mempunyai perkaitan yang kuat dengan anjing yang mana secara fizikal, kedua-duanya mempunyai saiz, rupa dan tingkahlaku yang agak sama dalam banyak cara.
Namun dalam kebanyakan kes, serigala sering dilihat mempunyai tubuh yang lebih besar berbanding anjing. Oleh sebab itu, serigala acapkali digambarkan sebagai haiwan yang buas dan mempunyai peribadi yang kuat dan ganas.

Hakikat sebenarnya, ia tidak seperti yang digambarkan dan ditayangkan di kebanyakan platform media massa yang mana serigala merupakan seekor haiwan yang pemalu dan sentiasa berhati-hati apabila berada di kumpulan manusia.
Benarkah Serigala Tidak Menyerang Manusia?
Jawapannya tidak, jika mereka lapar. Namun, serigala di dalam alam liar biasanya tidak menimbulkan ancaman kepada manusia sekiranya tiada pertemuan yang serius sehingga membuatkan mereka rasa terganggu dengan kehadiran manusia.
Secara umumnya, serigala akan menjauhkan diri daripada manusia jika anda membiarkan mereka bersendirian. Hal ini kerana, serigala memburu dalam kumpulan yang mana melalui pemburuan bersama, ia akan memberi mereka banyak kuasa dan perlindungan daripada ancaman luar.

Serigala adalah jenis karnivor besar dan memerlukan diet yang tinggi protein. Dan sebagai karnivor yang besar juga, serigala memerlukan mangsa yang besar, biasanya haiwan ungulate (atau haiwan berkuku), seperti rusa atau karibu. Apabila saiz hidangan yang diambil tidak mencukupi, serigala turut akan menambah makanan mereka dengan mamalia yang lebih kecil seperti memerang, arnab atau haiwan ternakan lain.
Tanggapan Salah Terhadap Lolongan Serigala
Selain itu, ramai yang menganggap serigala melolong hanya ketika melihat bulan. Ianya adalah tidak benar kerana serigala akan mengeluarkan lolongan apabila:
- Memberi panduan atau isyarat untuk memanggil serigala kecil yang lain untuk pulang ke rumah
- Menandakan amaran bahawa kawasan sekitar itu sudah ditawan oleh kumpulan serigala yang lain
- Menyapa serigala lain yang mana bunyinya kedengan lebih mesra dan manja
Untuk pengetahuan anda, serigala akan melolong sambil berdiri bagi memastikan lolongan mereka boleh didengari dari jarak sejauh 10 batu (16 kilometer). Bukan itu sahaja, lolongan serigala juga boleh bertahan antara 3 dan 11 saat pada satu masa.
Sumber: Live Science Wolf Org