B-Temia Asia (BTA), Wistron Medical Technology Corporation (WMT) dan Rehabotics Medtech telah memeteraikan kerjasama dalam melancarkan Pusat Latihan Robotik (RTC) Keeogo ASEAN yang pertama di Malaysia.

Di pusat latihan ini, ia membawakan teknologi rehabilitasi yang berperanan aktif dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup untuk pesakit dengan latar belakang yang mempunyai masalah gangguan neurologi.

Berdasarkan perjanjian antara ketiga-tiga syarikat ini, mereka bekerjasama untuk membina RTC di seluruh negara bagi memberikan kemudahan dan akses teknologi bagi pesakit strok dan kecederaan saraf.

Bermula dengan pusat RTC pertama yang dibuka di PJ Midtown Petaling Jaya, segala kelengkapan bagi tujuan rehabilitasi telahpun disediakan yang mana ia bukan sahaja menggunakan peralatan yang canggih dan terunggul tetapi juga bersesuaian dalam memulihkan kualiti kehidupan harian bagi semua yang memerlukan.

Keeogo merupakan singkatan untuk “Keep on Going” yang merupakan teknologi unik yang digunakan di Pusat Latihan Robotik Keeogo. Jika dibandingkan dengan robot lain dalam kategori yang sama, Keeogo merupakan satu-satunya Dermarangka (Dermoskeleton) yang tersedia secara komersial. Tidak hanya mempunyai jisim yang ringan, tetapi juga fleksibel selain turut menyediakan latihan aktif yang selamat dan boleh diperibadikan.

Antara teknologi yang diperkenalkan Keeogo termasuklah ortosis bermotor pintar. Ia adalah robot yang akan membantu pesakit yang mengalami masalah mobiliti anggota bawah untuk mendapatkan keupayaan bergerak dan berjalan, walaupun selepas mengalami komplikasi yang menjejaskan kehidupan mereka.

Sementara itu, Mirror Hand direka bentuk untuk merawat pesakit yang mengalami gangguan neuromuskular serta penyakit-penyakit yang menyebabkan kehilangan fungsi tangan secara kekal. Rangka tangan boleh pakai tersebut akan membimbing tangan yang terjejas bagi melatih pergerakan asas dengan terapi cermin (mirror therapy). Lebih menarik, ia melatih pengguna untuk berinteraksi dengan objek sebenar dengan menyatukan gerakan berterusan pasif (CPM) dengan mekanisme latihan dua hala.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Keeogo, anda boleh layari laman rasmi Keeogo Malaysia atau Rehabotics Medtech dan juga Wistron Medtech.