Bilakah kali terakhir anda membeli dan menikmati coklat? Adakah sekitar minggu ini ataupun beberapa bulan yang lepas?
Jika anda seorang penggemar coklat, tahukah anda bahwa coklat merupakan antara snek yang popular di dunia? Ia tidak hanya dinikmati pada acara yang tertentu, tetapi pada hari-hari biasa sama ada sebagai snek ketika belajar atau bekerja, hidangan selepas makan seperti kek coklat atau ais kisar dan lain-lain.
Menurut tinjauan Nielsen, di peringkat global, snek yang paling dicari adalah individu adalah buah segar. Ia diikuti oleh coklat yang menduduki tangga kedua untuk snek pilihan responden dengan 15 peratus individu yang menyebutnya sebagai snek yang mereka inginkan.
Salah satu sebab utama mengapa kebanyakan individu memilih coklat sebagai pilihan manisan adalah disebabkan ia membantu meningkatkan suasana hati sekaligus memberikan perasaan gembira sewaktu menikmatinya.
Secara umumnya, coklat hadir dengan rasa yang enak, bau yang harum, dan rasa yang mengagumkan apabila ia cair di dalam mulut. Oleh itu, sewaktu anda menikmatinya, ia mencetuskan emosi tertentu dan berkesan mengurangkan tekanan dan mengurangkan kesakitan. Dan dari situlah sebab mengapa coklat dikenali sebagai makanan keselesaan (comfort food).
Antara faktor lain yang mendorong mengapa orang ramai menggemari coklat adalah gula yang terkandung di dalamnya.
Menurut laman Scientific American, bahagian atas lidah mempunyai sensor khas yang dipanggil “tunas rasa” yang mengesan gula dan benda lain dalam makanan. Apabila mana-mana jenis gula menyentuh lidah, tunas rasa menghantar isyarat ke otak. Kemudian otak bertindak balas dan memproses rasanya sebagai keseronokan.
Satu lagi cara manusia memilih makanan tertentu adalah melalui pengalaman situasi. Otak kita membuat hubungan antara makanan dan keadaan di sekeliling makanan itu. Makanan yang dinikmati dalam keadaan baik jelas lebih disukai daripada makanan yang dialami semasa keadaan negatif. Untuk coklat, ia cenderung dinikmati sewaktu hari yang baik, maka di kebanyakan masa, ingatan akan mengingatinya sebagai sesuatu yang baik untuk diri.
Di Sebalik Hari Coklat Sedunia – Mengapa Ia Diraikan?
Hari Coklat Sedunia (atau Hari Coklat Antarabangsa) disambut pada 7 Julai setiap tahun sejak tahun 2009. Ahli sejarah menganggarkan bahawa coklat telah diperkenalkan secara meluas ke Eropah pada 7 Julai 1550.
Pengenalan ini melambangkan debut coklat dari Amerika Selatan ke seluruh dunia. Kini, Hari Coklat Sedunia disambut pada 7 Julai setiap tahun.