Segelintir orang berpendapat bahawa emosi asas dapat memberi kesan dan mempengaruhi keupayaan kita untuk membuat keputusan secara rasional.
Terdapat beberapa emosi negatif yang menjadi sebahagian daripada pengalaman manusia termasuk marah, kecewa, takut dan macam-macam lagi. Jika perkara ini berlanjutan, ia boleh menimbulkan tekanan dan sering dilihat sebagai emosi yang harus dielakkan.
Malah, untuk mengatasi emosi dan tekanan buruk, pendekatan dan inisiatif yang bersesuaian dan lebih baik perlu dilaksanakan untuk menguruskan perkara ini.

Bercerita mengenai tekanan lagi, sejak kebelakangan ini, isu mengenai kesesakan trafik telah menjadi sesuatu yang mengganggu dan mempengaruhi mental dan emosi seseorang individu. Lebih-lebih lagi sekiranya isu tersebut berlanjutan untuk tempoh yang panjang yang mana rata-rata individu menghabiskan masa sekitar 2 hingga 4 jam di atas jalanraya sehari ketika pergi dan pulang dari kerja.
Perkara ini turut dikongsikan oleh Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya kepada Bernama, situasi sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas secara berterusan boleh menyumbang kepada gangguan kesihatan mental sehingga membawa kepada tekanan yang kronik seperti kemurungan dan kerisauan. Ditambah lagi dengan faktor tekanan di tempat kerja yang turut mencetuskan provokasi ke atas mental individu.

Oleh itu, pengurusan emosi dan tekanan adalah penting walaupun kadangkala ia merupakan sesuatu yang kompleks. Hal ini kerana, perasaan ini tidak boleh diselesaikan dengan cara menghindarinya selain tidak boleh diuruskan dengan hanya membiarkan emosi negatif ini hilang dengan sendirinya.
Dikaitkan dengan isu kesesakan trafik, individu dan pihak yang terlibat seharusnya memainkan peranan dalam mengurus mental sewaktu pergi dan pulang dari kerja. Sebagai contoh, tentukan sebab dan yang boleh membantu anda mengelakkan diri daripada terperangkap di dalam trafik yang panjang.
Langkah yang mungkin boleh dipraktikkan termasuklah, perlaksanaan sistem pengoperasian organisasi yang lebih terbuka dan sistematik, perancangan perjalanan yang lebih efisien yang mana tidak memerlukan individu untuk memandu jauh serta wujudkan suasana di kereta dan pejabat yang lebih tenang dan tenteram.