Telah diperkenalkan sejak tahun 1980, syarikat pengeluar minuman Spritzer Group mempunyai lapan anak syarikat yang memfokuskan kepada pengeluaran dan pembuatan air mineral semula jadi, air sparkling, air minuman suling, air minuman berperisa dan banyak lagi.

Setelah lebih daripada 40 tahun di dalam industri pengeluaran minuman, syarikat ini nampaknya mula memperkenalkan rekaan botol pembungkusan baharu untuk air minuman mereka yang mana ia selari dengan misi mereka bagi mengawal selia pencemaran dan kerosakan pada alam sekitar.

Berbeza dengan botol sebelum ini yang menggunakan warna hijau terang, Spritzer kali ini hadir dengan pilihan warna yang lebih moden iaitu hijau seakan biru. Pada bahagian tutup botol, ia hadir dengan ukiran teks ikonik Spritzer bersama-sama dengan ilustrasi pokok. Sementara rekaan kali ini turut memfokuskan kepada keselesaan ruang pemegang sewaktu minum.

Menurut Spritzer, botol minuman tersebut dihasilkan menggunakan bahan plastik kitar semula yang telah melalui proses yang panjang merangkumi proses pembotolan tanpa sentuhan tangan bagi menjamin keselamatan pengguna.

Perubahan dari segi rekaan dan bahan binaan pada botol Spritzer ini tidak hanya untuk variasi 550ml sahaja, tetapi juga untuk botol lain termasuk lah Spritzer Natural Mineral Water 250ml, 1250ml dan juga 6000ml.

Untuk mendapatkannya, anda boleh mula membeli di laman atas-talian Spritzer Shop atau kunjungi ke kedai serbaneka berdekatan anda.

Bagi yang tidak mengetahui, Spritzer Group dahulunya merupakan sebuat syarikat kecil yang berpangkalan di Taiping, Perak. Ia kemudiannya dibina dan dikembangkan sehingga menjadi salah satu pengeluar air mineral semula jadi yang terbesar di Malaysia.

Sehingga ke hari ini, mereka telah melindungi sekitar 390 ekar tapak dengan sumber air mineral bagi menghasilkan minuman yang berkualiti kepada umum.