Bersempena dengan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menganjurkan beberapa aktiviti menarik termasuklah Pertandingan Inovasi Untuk Pameran Derma Organ.
Bagi yang berminat, anda boleh menyertai pertandingan ini yang dibuka kepada orang ramai bermula 13 Julai sehingga 13 Ogos 2022.
Bercerita mengenai derma organ, tahukah anda bahawa terdapat dua kategori penderma organ yang terdapat di Malaysia iaitu Penderma Hidup dan Penderma Kadaverik.
Kedua-duanya telah berdaftar sebagai penderma organ dan akan mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kepada pesakit, namun apakah yang membezakannya?
Apa Itu Penderma Hidup?
Untuk pengetahuan anda, penderma hidup adalah individu yang telah bersetuju untuk mendermakan hanya satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja yang mana pemindahan organ ini akan dilakukan semasa individu tersebut masih hidup.
Terdapat dua jenis pendermaan yang akan dilakukan oleh Penderma Hidup iaitu:
- Pendermaan ada pertalian saudara (Living Related)
- Pendermaan tiada talian saudara (non-living Related)
Di Malaysia, pendermaan organ semasa hidup biasanya terhad kepada mereka yang mempunyai pertalian darah iaitu ahli keluarga ‘First Degree’ dan ‘Second-Degree’. Ia juga turut boleh dilakukan oleh individu yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri yang sah sahaja bagi mengelakkan kegiatan jual beli organ berlaku.
Apa Itu Penderma Kadaverik?
Penderma Kadeverik adalah penderma yang telah meninggal dunia yang juga biasa dibuka kepada orang ramai yang ingin menderma anggota dari tubuh badan mereka.
Jika dibandingkan dengan Penderma Hidup, kategori penderma ini tidak akan memberikan risiko kepada penderma kerana ia dilakukan selepas individu meninggal dunia. Berikut adalah beberapa kategori Penderma Kadaverik:
Kematian Otak
Bagi individu yang telah kematian otak, hospital atau pakar hanya boleh mengambil organ dan tisu seperti:
- Jantung
- Paru-Paru
- Hati dan Buah Pinggang (Ginjal)
- Mata (Kornea)
- Tulang
- Kulit
Individu yang mati otak adalah individu yang tidak mengalami pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan dengupan jantung tidak berfungsi.
Ini juga boleh terjadi akibat kecederaan otak yang menyebabkan bengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk sekaligus mengakibatkan urat saluran darah yang menjadi tidak normal atau pecah, selain mempunyai tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan sebagainya.
Penderma yang mati otak ini juga perlulah disahkan meninggal dunia di hospital yang mana ujian pengesahan akan dijalankan mengikut protokol yang diterima pakai di serata dunia. Setelah disahkan mati otak, sijil pengesahan akan dikeluarkan dan mesin bantuan pernafasan akan diberhentikan.
Sekiranya untuk pendermaan organ, mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperolehi. Jika bukan untuk pendermaan organ mesin akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi.
Kematian Jantung Berhenti Berdegup
Kematian ini adalah kematian normal yang mana seseorang itu disahkan mati kerana jantung terhenti berdegup.
Penderma yang meninggal dunia secara jantung terhenti boleh mendermakan tisu sahaja seperti:
- Mata (kornea)
- Tulang
- Kulit
- Injap Jantung
Walau bagaimanapun, pendermaan organ tisu ini hanya boleh dilakukan jika mereka yang meninggal di hospital. Tetapi bagi mereka yang meninggal di rumah, organ yang boleh didermakan hanyalah mata sahaja. Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu tersebut di rumah.
Bolehkah Anda Menjadi Penderma Organ?
Jawapannya boleh. Sesiapa yang layak mendermakan organ perlulah mendaftar bagi menjadi pengikrar penderma organ dan tisu kecuali mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C, Siflis. Sementara individu yang berumur kurang dari 18 tahun, kebenaran bertulis dari ibubapa adalah diperlukan.
Akhir sekali, semua pengikrar penderma organ dinasihatkan agar memberitahu ahli keluarga tentang hasrat mereka untuk mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia. Ini akan memudahkan keluarga untuk memberikan kebenaran untuk pengambilan organ dan tisu selepas kematian mereka.
Sumber: MOH GOV