Tahukah anda, Louis Vuitton mula memperkasakan pasaran pakaian sejak dari tahun 1854 yang mana mereka menampilkan produk mereka sangat unik selain turut mempunyai penjenamaan yang kuat bagi setiap rekaan yang dijual.
Pada setiap musim mereka akan melancarkan trend baru sekaligus menjadikannya relevan untuk setiap masa di samping tetap mengekalkan kelas, nilai dan kualiti produk. Oleh itu, dengan sasaran penjualan minimum dan kos pembuatan yang tinggi, Louis Vuitton menawarkan produk yang paling mahal di dunia.
Kini, tidak hanya memfokuskan kepada koleksi pakaian mewah, Louis Vuitton telahpun memperkenalkan koleksi berlian LV yang dinamakan LV Diamonds.

Menerusi gambar yang dikongsikan, koleksi barang kemas terbaharu dari Louis Vuitton ini menampilkan potongan berlian yang unik berdasarkan salah satu motifnya yang paling ikonik iaitu monogram.
Untuk pengetahuan anda, LV Diamonds direka oleh Francesca Amfitheatrof, pengarah artistik jam tangan dan barang kemas Louis Vuitton. Menurut Amfitheatrof, rekaan monogram merupakan salah satu simbol terpenting jenama.
Antara rekaan yang bakal menarik perhatian ramai adalah LV Monogram Star, dengan 53 aspek dan mempunyai hujung berlian yang runcing. Berlian itu mengulangi bunga monogram berbentuk bintang yang dicipta oleh Georges-Louis Vuitton pada tahun 1896 yang pernah digunakan dalam rangkaian cincin, anting-anting dan loket.

Bukan itu sahaja, koleksi LV Diamonds turut mengembangkan komitmennya terhadap misi lestari untuk alam sekitar dengan memperkenalkan sijil berlian digital sepenuhnya berasaskan rantaian blok yang pertama. Setakat ini, koleksi LV Diamonds ini hanya ditawarkan di Amerika Syarikat pada harga $20,100 sebentuk.