Tahukah anda bahawa Gunung Kinabalu bakal menjadi lokasi balai bomba yang tertinggi di dunia?

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pembinaan balai bomba di Gunung Kinabalu bertujuan untuk mewujudkan pusat operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat bagi memudahkan bantuan diberikan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di lokasi berkenaan.

Berdasarkan laporan dari Bernama, balai bomba ini dirancang untuk dibina di ketinggian lebih dari 3,382 meter dari paras laut di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu. Ia akan menempatkan anggota Mosar yang merupakan anggota bomba yang mempunyai kepakaran khusus bagi melaksanakan tugas menyelamat di gunung.

Sebelum ini, sebanyak 26 kes menyelamat telah dilaksanakan oleh pasukan Mosar bagi bulan Januari hingga Jun 2022.

Setakat ini, pembinaan balai bomba ini masih lagi belum dijalankan. Disebabkan ia dibina di kawasan Warisan Dunia, maka terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan termasuklah isu-isu pendokumentasian dan sebagainya.

Bercerita mengenai Jabatan Bomba Dan Penyelemat lagi, nama ini mula diperkenalkan pada 21 Febuari 1997. Jemaah Menteri telah bersetuju perubahan nama daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.