Hat Yai atau turut dieja sebagai Had Yai merupakan bandar terbesar di selatan Thailand dan berhampiran dengan sempadan Malaysia. Disebabkan itu, Hat Yai sering menjadi pusat pengangkutan, perdagangan dan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Selain daripada itu, Hat Yai juga merupakan syurga membeli-belah yang menawarkan pelbagai pilihan produk dan barangan tempatan Thailand yang dijual pada harga yang berbaloi.

Sekiranya anda ingin berkunjung ke Hat Yai, kini perkhidmatan kereta api ulang-alik Hat Yai – Padang Besar sudah mula beroperasi semula. Pada Mac 2020 yang lalu, perkhidmatan kereta api ini telah diberhentikan sementara disebabkan oleh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Jadinya, pembukaan semula perkhidmatan ini dijangka akan memudahkan orang ramai untuk bergerak ke Thailand-Malaysia tanpa perlu mengeluarkan bajet yang besar.

Berdasarkan jadual yang dikongsikan, perkhidmatan kereta api ini akan mempunyai dua kali perjalanan pergi dan balik iaitu pada jam 9 pagi dan juga 3 petang.

Jadinya, anda boleh memilih antara dua waktu yang bersesuaian dengan jadual anda sebelum mula menempah tiket.

Untuk pengetahuan anda, perkhidmatan kereta api ini dikelolakan oleh State of Railway Thailand atau lebih dikenali sebagai SRT Thailand dan bukan ETS Malaysia. Oleh itu, pembelian tiket perlu dilakukan di laman rasmi SRT pada harga RM6 untuk perjalanan sehala.