Tidak lengkap hidangan kentang goreng tanpa mencicahnya dengan sos cili atau sos mayonis kegemaran anda. Ia bukan sahaja menambah rasa yang lebih lazat kepada kentang, tetapi juga menjadikan rupa luaran kentang kelihatan lebih menyelerakan.

Untuk pengetahuan anda, amalan mencicah kentang goreng ke dalam sos telah dilakukan sejak dari zaman dahulu lagi iaitu sekitar tahun lewat 1800-an dan mula berkembang ke Amerika Syarikat pada tahun 1940.

Pada ketika itu, kebanyakan restoran makanan segera mula menyajikan kentang goreng dan menjadikan sos tomato sebagai sos pencicah yang melengkapkan hidangan. Heinz merupakan syarikat pertama yang memperkenalkan formulasi terkenal pada tahun 1876. Mereka juga mempelopori penggunaan botol kaca yang mana memudahkan pelanggan untuk melihat apa yang mereka beli.

Baru-baru ini, Heinz hadir dengan satu lagi inovasi baharu yang menarik iaitu kentang goreng berbentuk sudu yang dinamakan Heinz Spoon Friez.

Diperbuat sepenuhnya daripada kentang, Heinz Spoon Friez menyerupai bentuk sudu tradisional yang membolehkan anda mencedok jumlah sos yang sempurna dalam satu gerakan.

Menarik bukan? Walau bagaimanapun, kentang goreng unik ini tidak ditawarkan kepada umum dan hanya terhad kepada penetap di Amerika Syarikat sahaja.