Isu mengenai sijil Halal ini bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia. Ini kerana dengan adanya pengiktirafan halal dari JAKIM, ia bukan sahaja menghilangkan kerungsingan dan was-was tentang sesuatu produk, tetapi juga turut menjamin kualiti mereka di tahap yang tertinggi.

Oleh sebab itu, ZUS Coffee baru-baru ini telah mengumumkan yang mana jenama minuman kegemaran ramai ini sudahpun mempunyai pengiktirafan sijil halal dari JAKIM.

Berdasarkan carian di Portal Rasmi Halal Malaysia, ZUS Coffee telah tersenarai sebagai syarikat yang diperakui status halal bagi produk mereka di bawah nama ZUSPRESSO (M) Sdn Bhd.

Dengan ini, para pelanggan tidak perlu khuatir akan senarai bahan yang digunakan oleh ZUS Coffee kerana ia dijamin telah diperoleh daripada senarai pembekal sah Halal yang diluluskan.

Selari dengan pengumuman halal ini juga, ZUS Coffee turut memperkenalkan ZUS Coffee Academy yang pertama di Malaysia. Akademi ini dibuka di Tropicana Gardens Mall yang merupakan cawangan ZUS Coffee yang ke-100 di Malaysia.

Akademi ini dibuka bertujuan untuk mendidik dan melatih individu untuk menjadi barista di sampuing memupuk kemahiran yang konsisten sepanjang tempoh melaksanakan servis di kaunter dan juga pengendalian makanan di dapur.

Tidak sekadar memfokuskan kepada kemahiran asas seperti membancuh kopi, akademi ini akan turut melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran lain termasuk pengetahuan yang boleh digunakan untuk membuka laluan kepada kerjaya dalam kopi.

Jadinya, ahli baru yang menyertai ZUS Coffee akan dilatih secara professional di akademi ini sebelum dihantar bertugas di cawangan masing-masing.

Tambah ZUS Coffee lagi, akademi ini dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 1,000 lagi peluang pekerjaan menjelang penghujung tahun 2022 selain bakal membuka 80 cawangan baharu di seluruh negara.