Mimik muka atau ekspresi wajah merupakan komponen yang penting untuk manusia kerana ia berfungsi dalam membantu individu menggambarkan perasaan atau emosi yang dialami pada satu-satu masa.

Secara sains, untuk seseorang berjaya mempamerkan mimik muka yang betul, ia memerlukan lebih daripada satu gerakan otot pada muka. Sebagai contoh, bentuk dan kedudukan kening akan membezakan dan menggambarkan sesuatu perasaan sama ada marah, sedih dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan oleh Dr. Paul Ekman yang merupakan bekas professor di University of California, mimik muka adalah universal. Perkara ini disokong oleh pengaruh budaya dan evolusi persekitaran individu yang mana sedikit sebanyak telah mengubah cara individu mempamerkan ekspresi.

Apa Itu Mimik Muka Neutral Atau Mimik Muka Tanpa Perasaan?

Jason Rogers, ahli sains saraf tingkah laku pernah hadir dengan kajian yang menyatakan bahawa terdapat ekspresi atau mimik muka neutral yang sering mencetuskan salah faham dalam kalangan individu iaitu Resting Bitch Face atau RBF.

Tahukah anda, terdapat perbezaan antara kedua-dua ekspresi ini?

Menerusi analisa yang dilakukan menggunakan perisian imbasan ekspresi wajah, mimik muka neutral biasa hanya akan mencatatkan kira-kira 3% daripada emosi tersembunyi. Sementara untuk individu yang mempunyai ekspresi RBF pula menunjukkan purata 6% emosi asas dan selebihnya adalah benci.

Kunci utama bagi kedua-dua ekspresi ini adalah kedudukan mulut. Untuk pengetahuan anda, mulut bagi sesetengah individu secara semula jadi akan terangkat pada satu sisi apabila mereka tidak menunjukkan apa-apa perasaan.

Namun, bagi yang mempunyai ekspresi RBF, mulut mereka akan secara semula jadi bersudut ke bawah. Sebagai contoh, jika individu mempunyai mata yang redup, mulut yang bersudut ke bawah akan menjadikan mereka kelihatan lebih letih dan tertekan. Manakala apabila mata individu sedikit tajam, ia akan membuatkan ekspresi mereka kelihatan sentiasa kecewa atau benci.

Bolehkah Mimik Muka Ini Diubah?

Jawapannya, ya. Untuk mempunyai lebih banyak pilihan tentang bagaimana kita mempamerkan sesuatu mimik muka, kita perlu mengetahui apakah emosi yang sedang kita sampaikan.

Tidak sekadar itu, ia turut memerlukan kesedaran akan tingkah laku emosi, pengalaman dan pencetus yang kita mahupun orang lain hadapi. Proses ini membolehkan kita mencari cerapan dalam kesedaran untuk membantu membentuk reaksi emosi kita dengan cara yang lebih baik dan selesa.

Namun, harus diingatkan juga bahawa anda tidak bertanggungjawab untuk menukar ekspresi anda mengikut penerimaan umum. Hal ini kerana ia adalah sebahagian daripada diri anda dan jika anda memilih untuk menerimanya, anda boleh memastikan orang yang berada di sekeliling anda menilai anda berdasarkan kata-kata dan tindakan anda dan bukannya penampilan pada wajah anda.

Sumber: Paul Ekman, The Washington Post, Frontier Psychology