Carian
Tahukah Anda Bijirin Menggunakan Kuantiti Gula Yang Tinggi Untuk Setiap Hidangan?
July 19, 2022 Lina Rosli

Secara umumnya, gula tulen di dalam makanan berfungsi untuk menyokong rasa, tekstur dan rupa yang mana jika pada bijirin, ia menjadikan sajian sarapan pagi terasa lebih enak dan lengkap ditambah lagi untuk dihidangkan kepada kanak-kanak.

Tanpa penggunaannya, produk bijirin tidak akan mempunyai perisa dan tekstur unik yang menjadikannya begitu popular.

Tahukah anda bahawa selain menambah rasa manis pada bijirin, penggunaan gula sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan lain? Kelebihan yang dimaksudkan adalah:

  • Membantu menyerap lembapan semasa kepingan dibakar supaya tekstur kekal lebih rangup lebih lama walaupun selepas menghidangkannya bersama susu
  • Membantu dalam mengikat molekul bahan di dalam setiap hidangan
  • Memberikan rupa dan warna yang lebih menarik iaitu emas atau coklat
  • Menawarkan tempoh hayat yang lebih lama ketika disimpan.

Mengapa Penggunaan Gula Dalam Industri Bijirin Tinggi?

Secara keseluruhannya, industri bijirin menggunakan kira-kira 400 juta kilogram gula setiap tahun. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa pengeluar bijirin menggandakan penawaran gula di dalam produk mereka dalam usaha untuk mengatasi kemerosotan jualan selama bertahun-tahun.

Untuk pengetahuan anda, peningkatan semula kuantiti gula ini ini dikatakan adalah berikutan kegagalan versi bijirin sihat sebagai sajian sarapan individu. Tambah pengeluar lagi, rata-rata pengguna mula beralih kepada hidangan yogurt yang menawarkan protein yang lebih tinggi dan lebih sedikit karbohidrat.

Sebelum ini, ramai dalam kalangan individu juga lebih menggemari bijirin sarapan pagi kerana ia lebih mudah bukan sahaja untuk disimpan tetapi untuk dihidangkan. Malah, segelintir individu juga memilih sesuatu bijirin dengan hanya melihat pada pembungkusan dan rasa.

Oleh itu, apabila pengeluar mengubah rasa yang ditawarkan pada bijirin, ia sememangnya akan memberi kesan kepada pengambilan harian individu.

Sedikit fakta menarik mengenai bijirin juga, bagi setiap individu di Amerika Syarikat yang menikmati bijirin sarapan pagi setiap hari, mereka akan mengambil kira-kira 4kg gula setahun yang mana ini mencerminkan bahawa bijirin adalah makanan yang sering disalahtafsir sebagai makanan sihat tetapi mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Komen