Apabila tiba sahaja musim Bonanza, pastinya ramai dalam kalangan individu yang akan mengambil peluang untuk menikmati hidangan sushi di Sushi King dengan lebih banyak berbanding hari biasa.
Hal ini kerana, pada hari Bonanza, kesemua pinggan sushi ini ditawarkan pada harga yang lebih rendah iaitu RM3 bagi setiap pinggan tanpa mengira warna. Maka tidak hairanlah mengapa ramai yang tidak ingin melepaskan peluang untuk mengunjungi restoran Sushi King berhampiran.
Untuk penawaran Sushi King Bonanza kali ini, apa yang menarik perhatian Tajria adalah penawaran minuman ikonik kebanyakan restoran Jepun iaitu teh hijau di Sushi King yang kini telah digantikan kepada Teh Shizuoka atau Shizuoka Cha.

Jika dibandingkan dengan penawaran teh hijau biasa sebelum ini, harga yang ditawarkan untuk Teh Shizuoka adalah dua kali ganda lebih tinggi. Bagi setiap cawan yang dipesan, pelanggan perlu membayar RM2.60 yang dahulunya berharga RM1.16 sahaja.
Bagi yang tidak mengetahui, teh Shizuoka ini merupakan antara teh berkualiti tinggi yang mana ia menyumbang 40% daripada keseluruhan pengeluaran teh Jepun. Teh Shizuoka dihasilkan di wilayah Shizuoka dan kawasan ini mempunyai iklim yang hangat dan waktu cahaya matahari yang panjang. Oleh itu, ia menjadikan kawasan ini lebih sesuai untuk ladang teh.