Pudina, spearmint dan crème de menthe. Mana satu kegemaran anda? Tidak dinafikan, bagi setiap suapan pudina, ia akan memberikan rasa segar yang membangkitkan semua deria rasa. Tambah lagi jika digabungkan bersama coklat gelap, ia menjadikan rasa kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.

Namun, apakah yang akan terjadi sekiranya anda mencicah ayam goreng rangup dan pedas ke dalam sos coklat pudina?

Baru-baru ini, KFC Korea telahpun memperkenalkan satu gandingan baharu yang unik di dalam menu mereka iaitu Ayam Goreng KFC bersama sos pencicah baharu yang dinamakan sebagai Mint Choco Dipping Sauce.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, KFC Korea menyatakan yang mana mereka ingin para pelanggan mereka menikmati pengalaman serba baharu di KFC dengan memesan gabungan istimewa antara ayam dan burger popular KFC bersama-sama dengan sos manis dan segar.

Untuk pengetahuan anda juga, penawaran sos pencicah baharu ini adalah sebahagian daripada kerjasama bermusim KFC Korea dengan Baemin, sebuah syarikat aplikasi penghantaran makanan yang popular di Korea Selatan. Pemilihan warna sos ini juga dikaitkan bersama warna tanda dagang bagi syarikat Baemin dalam perniagaannya.

Setakat ini, hidangan sos pencicah coklat pudina ini hanya eksklusif di Korea sahaja. Pelanggan boleh mendapatkannya apabila mereka memesan hidangan kombo atau dibeli secara berasingan melalui aplikasi penghantaran KFC Korea atau di kedai pada harga bermula KRW14,900.