Peruncit fesyen Hong Kong, Esprit kini merancang untuk kembali ke pasaran Asia dengan memperkenalkan dan menawarkan produk baharu yang memenuhi keperluan ramai.

Sebelum ini, Esprit merupakan salah satu jenama fesyen pantas (fast fashion) yang menjadi pilihan ramai. Namun, selepas beberapa tahun beroperasi, syarikat ini dilihat mengalami kerugian selama bertahun-tahun disebabkan oleh kegagalan mereka bersaing dengan jenama global lain seperti Zara dan H&M.

Selari dengan pengumuman kemasukan semula jenama ini di dalam industri fesyen, Esprit dilihat hadir dengan penjenamaan semula serta memperkenalkan maskot baharu bagi jenama mereka iaitu Joy the Dolphin.

Pemilihan maskot ini dikatakan bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada pelanggan dengan cara memperkenalkan nilai-nilai dalam warisan sekaligus membentuk identiti yang lebih ceria dan digemari pelanggan.

Mengenai target mereka yang bukan lagi bergerak sebagai fesyen pantas, Esprit kini lebih menyasarkan penawaran fesyen lestari selain hadir dengan imej yang lebih muda dan bersih. Dalam peralihannya, jenama ini telah mengurangkan kitaran fesyennya daripada 12 koleksi setahun kepada hanya empat sahaja selain menawarkan juga koleksi edisi terhad yang menampilkan kolaborasi bersama rakan kongsi Esprit.

Walau bagaimanapun, langkah ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka dilihat menghadapi cabaran sukar untuk memenangi semula bahagian pasaran di Asia. Perkara ini sedikit sebanyak disebabkan oleh lambakan jenama fesyen gergasi di pasaran selain berlakunya kebangkitan platform atas-talian ultra-murah seperti Shein, Shopee dan banyak lagi.