Carian
Tiada Pelan Pengurusan Yang Jelas Antara Punca Tasik Chini Tidak Penuhi Kriteria UNESCO
July 25, 2022 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa Tasik Chini merupakan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia dan ia adalah aset negara yang menampilkan kepelbagaian bio tropika yang kaya dan unik?

Mempunyai kawasan seluas lebih 12,000 ekar, Tasik Chini terkenal sebagai “taman terapung” semula jadi yang mana pengunjung akan melihat beribu-ribu bunga teratai putih dan merah jambu yang menghiasi permukaan tasik pada bulan Ogos dan September.

Walau bagaimanapun, pada Julai 2021 yang lepas, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telahpun memulakan kajian semula ke atas Tasik Chini Pahang berikutan statusnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO.

Dalam penemuan yang dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Unesco MAB, jawatankuasa penasihat menyatakan bahawa rizab biosfera Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria Rangka Kerja Berkanun WNBR. Perkara ini ditambah lagi dengan ketiadaan pelan pengurusan yang jelas dan konsisten untuk rizab biosfera telah mengakibatkan kekeliruan berlaku.

Untuk pengetahuan anda, perlaksanaan kajian semula ini dilakukan secara berkala setiap 10 tahun yang mana dalam tempoh tersebut, pihak berkuasa akan diberi masa kira-kira setahun untuk menambahbaik dan memulihkan kawasan yang terjejas teruk akibat aktiviti perlombongan berhampiran.

Menurut Menteri Besar Pahang, kini hampir 80 peratus kawasan bekas lombong di Tasik Chini telah semakin pulih yang mana rata-ratanya telah ditanam dengan pokok penutup bumi dan beberapa spesies pokok balak yang lain.

Walau bagaimanapun perkara ini nampaknya tidak selari dengan pandangan UNESCO dan dengan itu, pihak berkuasa Malaysia telah diminta mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini menjelang 30 September 2022.

Di dalam laporan UNESCO juga, mereka telah mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitar Tasik Chini iaitu di Bukit Ketaya dan Bukit Chini. Dan hal ini telah menjejaskan dan mengakibatkan kesan buruk kepada alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai kerana kawasan tersebut terletak di titik kecerunan tinggi.

Bukan itu sahaja, UNESCO turut mendapati penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit telah menjadi punca utama kerosakan alam sekitar kerana sebahagian daripada pengembangan ini berlaku dalam kawasan teras utama.

Tambah UNESCO lagi, aktiviti pengembangan pesat di Tasik Chini juga dilihat telah memberi kesan buruk bukan sahaja kepada biodiversiti serantau tetapi juga kepada ekonomi tempatan termasuklah kadar kebergantungan suku kaum Jakun kepada sumber hutan terhalang dan trend peningkatan pelancong yang melawat dan menangkap ikan di tasik semula jadi telah berubah.

Namun, setakat ini, pakar Program MAB Unesco berpendapat, status Tasik Chini sebagai rizab biosfera tidak berisiko dibatalkan dan mereka masih menunggu butiran yang lengkap bagi membolehkannya menyerahkan maklumat tambahan untuk memeriksanya dan membuat keputusan wajar.

Sumber: MalaysiaKini

Komen