Jika anda cenderung mengisi masa lapang anda di siang hari dengan tidur seketika atau ‘napping‘, anda berkemungkinan besar berisiko tinggi untuk mengalami tekanan darah tinggi dan juga strok.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Hypertension oleh Persatuan Jantung Amerika, pakar menyatakan bahawa kira-kira 360,000 penduduk di Amerika Syarikat mempunyai tabiat tidur seketika pada siang hari mempunyai risiko 12% lebih tinggi untuk mendapat tekanan darah tinggi dan risiko 24% lebih tinggi untuk mengalami strok berbanding mereka yang tidak tidur siang.

Secara umumnya, aktiviti berehat dan tidur seketika di siang hari bukanlah sesuatu yang memudaratkan. Namun, bagi kebanyakan orang yang tidur siang cenderung berbuat demikian kerana mereka mendapatkan tidur yang kurang pada waktu malam.

Tidur malam yang kurang baik dan tidak berkualiti sering dikaitkan dengan kesihatan yang buruk. OLeh sebab itu, individu akan memilih untuk menggantikan tidur yang terjejas pada malam hari di waktu siang.

Untuk pengetahuan anda, risiko tekanan darah tinggi adalah lebih tinggi bagi mereka yang berumur di bawah 60 tahun iaitu individu daripada kumpulan 25 hingga 59 tahun. Faktor ini mungkin disebabkan oleh rutin gaya hidup dan tabiat lain yang boleh memberi kesan kepada kualiti dan kuantiti tidur seseorang.

Jadinya, dari sudut pandangan klinikal, adalah satu kemestian untuk pakar perubatan dan juga doktor dalam bertanya kepada pesakit tentang rutin tidur siang mereka kerana ia mempunyai perkaitan dan potensi yang besar dalam penyakit kardiovaskular.