Setiap individu pasti mempunyai sekurang-kurangnya 3 produk penjagaan kulit asas yang digunakan di dalam rutin pembersihan harian. Ia termasuklah pembersih dan pencuci muka, krim pelembab dan juga pelindung matahari.

Namun, sekiranya anda seseorang yang mementingkan kesegaran dan kecantikan kulit secara menyeluruh, pastinya akan ada produk tambahan yang akan digunakan bersama-sama dengan 3 produk asas seperti penyegar, serum, krim mata, topeng muka dan banyak lagi.

Tetapi persoalan sebenar ialah, adakah anda pasti anda menggunakan amaun cecair penjagaan kulit yang betul? Untuk memastikan anda mendapatkan jumlah yang diperlukan, Tajria hari ini akan berkongsikan kepada anda tentang jumlah produk yang perlu anda gunakan untuk setiap kategori penjagaan kulit, dan cara terbaik untuk menerapkannya.

Pembersih Dan Pencuci Muka

Muka mempunyai kawasan kulit yang kecil selain menampilkan tekstur kulit yang lebih halus berbanding badan.

Oleh itu, apabila anda memilih ataupun menggunakan sesuatu produk, adalah penting untuk anda memastikan bahawa bahan yang terkandung untuk produk tersebut tidak akan memudaratkan keadaan kulit.

Dari segi amaun yang perlu anda ambil, pakar dermatologi menyarankan untuk anda menggunakan hanya satu pam sahaja di dalam setiap rutin pembersihan wajah. Amaun satu pam cecair ini bersamaan dengan kira-kira 10 miligram atau 2/3 sudu.

Menurut pakar lagi, amaun ini sepatutnya lebih daripada cukup untuk membersihkan muka sepenuhnya. Ini kerana apabila dicampur dengan air, pembersih biasanya berbuih sekaligus menghasilkan lebih banyak bahan yang boleh anda gunakan dari dahi ke dagu, serta turun ke leher dan dada.

Penyegar, Essence Dan Cecair Kecantikan Lain

Apabila bercakap tentang penyegar, essence atau air micellar, ramai individu seringkali bergantung kepada serapan kapas atau tisu yang digunakan.

Namun, rata-rata pakar akan mengesyorkan untuk menyukar kuantiti penyegar dan lain-lain terus ke tapak tangan. Untuk pengetahuan anda, individu hanya memerlukan kira-kira satu perempat cecair yang diserap oleh kapas.

Sekiranya anda menggunakan tangan, ia bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan cecair tetapi juga mengurangkan risiko kerengsaan. Jika anda merasakan jumlah cecair yang diambil adalah berlebihan, anda dicadangkan untuk menambahnya ke kawasan bermasalah seperti T-Zone.

Malah, untuk individu yang mempunyai kulit kering atau kombinasi, anda mungkin tidak perlu menggunakan penyegar pada kuantiti yang banyak kerana ia boleh mengeringkan lagi kulit anda.

Serum

Bagi produk dengan kadar kelikatan yang tinggi memerlukan amaun yang lebih sedikit berbanding yang cair kerana cecair yang likat akan lebih mudah tersebar di seluruh muka.

Untuk penggunaan serum yang terbaik dan paling sekata, anda perlu titikkan di beberapa tempat yang berbeza seperti pada dahi, hidung dan dagu, dan juga pada setiap pipi. Kemudian sapu serum perlahan-lahan ke dalam kulit sehingga ia diserap sepenuhnya.

Krim mata

Kawasan mata adalah kecil, tetapi penggunaan krim mata dengan betul boleh membawa kepada hasil anti-penuaan yang hebat. Menurut pakar, jumlah krim sebesar kacang adalah cukup banyak untuk digunakan pada kedua-dua mata.

Pelembap

Untuk pelembap pula, amaun sekurang-kurangnya 2 miligram sepatutnya mencukupi untuk menghidratkan seluruh wajah anda dengan secukupnya. Walau bagaimanapun, jenis kulit anda memainkan peranan-dan boleh meningkatkan jumlahnya.

Untuk kulit normal hingga kombinasi, amaun pelembap 2 miligram akan berfungsi dengan baik, namun jika anda mempunyai kulit yang terlalu kering, anda mungkin mendapat manfaat daripada menggunakan amaun yang lebih sedikit daripada 2 miligram untuk memastikan kulit anda mempunyai amaun yabg mencukupi.

Harus diingatkan, tidak semua produk memerlukan kuantiti yang banyak untuk membuahkan hasil yang baik kepada kulit. Hal ini kerana kesemuanya bergantung kepada kadar penyerapan kulit setiap individu. Oleh itu, tetapkan amaun yang bersesuaian supaya ia tidak dibazirkan pada kulit tanpa memberikan apa-apa kesan kepadanya.