nuramalinazaidi Diterbitkan 27 July 2022

Susu Ibu Rosak?

Tiada yang lebih menyedihkan para ibu apabila mengetahui susu badan yang dipam sudah tidak boleh digunakan lagi. Sesungguhnya susu ibu itu sangat bernilai dan sudah tentu kita tidak sanggup membuang susu tersebut sewenang-wenangnya. Tetapi bagaimana untuk kita tahu susu perahan itu sudah rosak dan tidak boleh diberikan kepada si manja?

1. Bau masam

Susu ibu ada sedikit bau jika dihidu. Ada juga susu ibu yang berbau sedikit tengik apabila dibekukan kerana menurut pakar bau tersebut disebabkan oleh tahap enzim lipase yang lebih tinggi dihasilkan oleh sesetengah ibu. Oleh itu, agak sukar untuk mengesan susu tersebut masih elok atau tidak. Cara terbaik adalah ibu titiskan sedikit susu ibu untuk dirasa.

Rasa susu ibu yang masih elok rasanya seakan-akan santan kelapa. Mungkin kerana ini ada lagu rakyat berbunyi : “Susu lemak manis, santan kelapa muda, adik jangan nangis, ummi nak buat kerja.”

2. Tidak larut atau berketul

Susu yang disejukkan memang akan terpisah kepada lapisan air dan lemak. Kedua-dua lapisan akan bercampur dan bersatu apabila digoncang lembut selepas dipanaskan. Tetapi sekiranya selepas digoncang lembut dilakukan lapisan susu masih tidak larut atau masih berketul, ia adalah tanda susu sudah rosak.

3. Melebihi tempoh hayat simpanan

Kesegaran susu ibu jika disimpan dalam peti sejuk 2 pintu hanya bertahan selama 3 ke 5 hari. Namun jika kita simpan melebihi tempoh hayat simpanan ia akan menjejaskan kondisi susu tersebut.