Kesedaran individu dalam mengamalkan diet pemakanan sihat dilihat semakin memburuk kerana ramai dalam kalangan individu sekadar mendapatkan snek dan makanan ringan untuk mengalas perut sehingga mengabaikan nutrien yang diperlukan dalam kehidupan seharian mereka.

Mana tidaknya, ramai individu lebih gemar mengambil makanan segera dan tidak berkhasiat seperti mi segera, minuman berkarbonat, burger dan sebagainya selain lebih memilih untuk mengambil makanan yang lebih pantas untuk dihidangkan.

Maka tidak hairanlah berlakunya peningkatan dalam peratusan masalah kesihatan disebabkan diet yang tidak seimbang dan seterusnya berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan.

Untuk pengetahuan anda, kira-kira 95 peratus penduduk negara ini didapati tidak makan sayur seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia atau KKM. Kesan daripadanya, rata-rata individu lebih cenderung dan berisiko mengalami penyakit jantung dan buah pinggang.

Walaupun secara umumnya masalah ini sering dikaitkan dengan tabiat pemakanan golongan kanak-kanak, namun tahukah anda bahawa kira-kira 1 daripada 10 orang dewasa sahaja yang mendapatkan kuantiti sayur-sayuran dan buah-buahan yang disyorkan, menurut data daripada Sistem Pengawasan Faktor Risiko Tingkah Laku 2015 oleh CDC.

Disebabkan itu juga, amalan pemakanan yang sihat ini tidak dapat dipraktikkan sepenuh dalam kalangan ahli keluarga. Dalam laporan yang diperoleh dari Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 pula, kebanyakan penduduk di Malaysia hanya mengambil sejenis sayur sahaja setiap kali makan dan apabila kuantiti sayur yang diambil adalah sedikit, ia tidak cukup menawarkan zat yang penting kepada tubuh.

Di samping itu juga, pakar menyatakan kesan pengambilan sayur yang sedikit telah menyebabkan peningkatan dalam pengambilan gula serta karbohidrat ringkas. Ia sekaligus menyebabkan sebatian organik itu terbenam dalam badan sebagai lemak sehingga membawa kepada berlakunya penyakit tidak berjangkit (NCD).

Sumber: Bernama