Jika anda perasan, dalam kebanyakan hidangan makanan lebih-lebih lagi pemanis mulut, vanila merupakan antara perisa asas yang sering ditawarkan kepada umum.

Namun, pernahkah anda terfikir mengapakah perisa ini digunakan secara meluas di dalam industri makanan dan pembuatan kek serta manisan?

Vanila Adalah Bahan Pelengkap Rasa

Bagi sesetengah resipi, ekstrak vanila tulen digunakan untuk menambah rasa yang halus dan lazat yang menepati kriteria umum.

Tidak hanya itu, dengan adanya vanila juga, ia membantu meningkatkan rasa bahan-bahan lain ke dalam hidangan tidak kirasa sama ada manis, pedas dan sebagainya. Sebab itu, mengapa kebanyakan hidangan menggunakan vanila sebagai pelengkap rasa.

Bermula dari Amerika Tengah dan Selatan, vanila pertama kali ditanam di Mexico. Ia merupakan tumbuhan tropika dengan rupa daun yang gelap dan bunga berwarna hijau pucat yang dinamakan sebagai vanila planifolia.

Sehingga pertengahan abad ke-19, vanila planifolia telah didebungakan secara eksklusif oleh genus lebah tertentu di Mexico, dipanggil Melipona.

Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa variasi vanila yang diperkenalkan di pasaran yang berasal daripada beberapa kawasan berbeza. Namun, untuk kesemua kawasan ini, ia mempunyai iklim yang serupa bagi memudahkan proses pendebungaan.

Di Tahiti, buah vanila yang tumbuh adalah lebih berisi, kaya, dan jenis berbunga. Kebiasaannya, jenis ini banyak digunakan di dalam minyak wangi. Sementara vanila jenis Bourbon pula adalah variasi paling popular dan berasal dari kepulauan di Perancis yang kini dipanggil Réunion.

Dan seterusnya vanila Madagascar pula mempunyai rasa yang lebih berkrim seakan variasi Bourbon. Manakala, vanila yang paling kecil dan mempunyai nota manis yang lebih dalam adalah jenis Mexico.

Sejak tahun 1602, kebanyakan pastri dan manis mula menggunakan vanila dan ia menjadi pilihan rata-rata individu kelas atasan pada ketika itu. Menjelang 1750, aiskrim vanila mula diperkenalkan di Paris dan diperluaskan oleh Thomas Jefferson pada tahun 1780 ke Amerika Syarikat.

Mengapa Individu Menggemari Vanila?

Menurut Vanilla Symrise, vanila menawarkan rasa yang klasik yang mana ia membantu individu memberi tumpuan kepada profil rasa sesebuah hidangan.

Sebagai contoh, rasa vanila boleh memberikan rasa yang mengujakan apabila ditambah dengan profil rasa masam dan manis pada buah-buahan. Ataupun rasa yang mengejutkan dan menarik, jika dipadankan dengan profil rasa yang savory atau berempah.

Oleh sebab itu, kebanyakan pengeluar makanan akan tampil dengan perisa asli iaitu vanila di dalam senarai pilihan produk mereka. Ia bukan sahaja bertindak sebagai tapak rasa yang kukuh, tetapi juga membangkitkan rasa bahan-bahan lain untuk dinikmati individu.