Sudah bertapak hampir 100 tahun di dalam industri fesyen, Montblanc telah hadir dengan pelbagai koleksi barangan mewah yang memfokuskan kepada seni ketukangan halus untuk jam tangan, alat tulis dan aksesori lain.
Tidak hanya itu, Montblanc juga turut menitikberatkan kualiti bagi setiap produk ciptaan mereka, bermula dari bahan-bahan sehingga ke teknologi yang digunakan untuk menghasilkan satu-satu produk.
Bercakap mengenai seni ketukangan dan kualiti yang dipersembahkan Montblanc, jenama ini kali ini dilihat hadir dengan pen edisi terhad yang dikeluarkan khas untuk sempen sumbangan Brothers Grimm kepada kanun sastera.
Untuk pengetahuan anda, Brothers Grimm adalah seorang ahli akademik Jerman, ahli filologi, penyelidik budaya, ahli perkamusan, dan pengarang yang bersama-sama mengumpul dan menerbitkan cerita dongeng rakyat. Antara karya popular untuk cerita dongeng yang pernah dihasilkan termasuklah Cinderella, Rapunzel dan Little Red Riding Hood.
Menjadi antara individu yang berpengaruh dalam industri ini, Montblanc telah memilih untuk menampilkan koleksi istimewa Brothers Grimm yang hadir dengan 4 rekaan pen fountain yang berbeza. Setiap pen diukir unik mengikut siri kisah dongeng yang popular yang diperkenalkan Brothers Grimm iaitu Hansel dan Gretel, Sleeping Beauty, Rapunzel, dan Snow White.

Semua pen mempunyai keperibadian mereka sendiri. Untuk Homage to Brothers Grimm Limited Edition, ia membawakan rekaan yang diinspirasi dari rambut Rapunzel. Hadir dengan pilihan warna hitam dan dilengkapi dengan kemasan platinum, pen ini digambarkan sama seperti suasana di dalam cerita animasi Rapunzel yang sedikit menyeramkan. Melengkapkannya adalah ukiran “Göttinger Sieben”, merujuk kepada tujuh orang intelektual dari Göttinger yang dianggotai oleh Brothers.

Homage to Brothers Grimm Limited Edition 8 adalah sebatang pen yang menampilkan rekaan watak di dalam cerita Snow White. Dihiasi dengan tatahan emas putih, pen ini memperlihatkan ukiran tujuh orang kerdil, daun emas kuning dan epal Snow White. Sama seperti yang digambarkan di dalam seni asal, kesemua gabungan ukiran ini mewujudkan rasa magis yang unik pada pen.

Untuk 2 pen lain, Montblanc membawakan Homage to Brothers Grimm Limited Edition 1812 yang mendapat inspirasi dari karakter Sleeping Beauty. Sementara Homage to Brothers Grimm Limited Edition 86 pula berkait rapat dengan adegan makan biskut di rumah gingerbread.