teamLab yang merupakan kumpulan kolektif karya seni antarabangsa dari Jepun bakal mengadakan pameran cahaya yang bertempat di pusat beli-belah Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC). Dinamakan sebagai “teamLab : Resonating Microcosms”, pameran ini akan berlangsung dari 4 Ogos sehingga 30 November 2022 dengan kemasukan adalah percuma serta pengoperasian bermula dari jam 10:00 pagi hingga 10 malam.

Melaluinya pengunjung boleh menyaksikan landskap yang dipenuhi dengan sejumlah besar patung berbentuk telur ataupun bujur dikenali sebagai ovoid yang bercahaya terang dalam pelbagai warna. Ia boleh berubah warna mengikut persekitaran semula jadi dan kehadiran orang ramai, termasuklah perubahan angin, hujan serta tingkah laku manusia di sekeliling. Menariknya, ia juga boleh berubah secara interaktif kepada 57 warna berbeza.

Pengunjung juga boleh cuba menyentuh ovoid tersebut dan ia akan mengeluarkan bunyi gema beserta cahaya warna khusus. Kemudian, patung di sekeliling juga akan mengeluarkan bunyi gema serta warna yang sama. Ini bermakna, anda boleh berjalan-jalan di sekeliling dan juga menyentuh atau menolaknya untuk melihat bagaimana ovoid in bertindak balas.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga Resonating Tree di kawasan sekitar yang terdiri dengan pokok berkelip dipenuhi lampu bercahaya sebagai tindak balas kepada kehadiran orang ramai. Sama seperti ovoid tadi, pokok-pokok ini turut akan berubah warna dan mengeluarkan bunyi gema khusus secara berterusan, itu bermakna ada orang yang berada berdekatan dengannya.

Maklumat Lanjut – teamLab