Selepas hadir dengan koleksi Balenciaga Crocs Stiletto pada tahun 2021, Balenciaga dan Crocs sekali lagi bekerjasama dalam melancarkan dua pilihan produk baharu iaitu beg tote dan pemegang telefon.

Sama seperti kebanyakan produk Crocs yang lain, beg tote dan juga pemegang telefon ini menggunakan 100% binaan getah EVA yang mana bahan ini mempunyai binaan yang lebih lembut daripada getah biasa sekaligus menawarkan lebih fleksibiliti secara semula jadi.

Bukan itu sahaja, getah EVA juga lebih ringan dan selesa untuk digunakan. Maka tidak hairanlah mengapa Crocs memilih bahan ini untuk menghasilkan kasut yang lebih mudah untuk digunakan dalam pelbagai acara.

Aksesori mewah itu dibuat di Itali dan datang dalam tiga warna — hijau tebal, merah jambu dan hitam. Sekiranya anda berminat, harga yang ditawarkan untuk Balenciaga X Crocs ini adalah bermula $775 (~RM3,453.79) sebuah.