Lina Rosli Diterbitkan 2 August 2022

Apa Yang Membezakan Lantai Laminat Dan Lantai Vinil?

Dari tahun ke tahun, pengeluar lantai telah melakukan pelbagai inovasi dalam memberikan keselesaan yang tahan lama untuk pemilik rumah atau bangunan. Sama ada menaik taraf bahan sedia ada atau hadir dengan produk yang baharu, penawaran produk ini sedikit sebanyak memberikan pilihan yang lebih variasi kepada pengguna.

Tidak dinafikan, lantai laminat dan juga lantai vinil kedua-duanya sesuai untuk kegunaan jangka masa panjang disebabkan oleh binaannya yang tahan lama selain turut boleh diperoleh pada harga yang berpatutan.

Lantai ini juga hadir dengan pelbagai gaya dan juga keperluan yang mana anda boleh sesuaikannya mengikut tema dan keadaan rumah anda. Jadi, bagaimana anda dapat menentukan mana antara dua produk ini adalah yang terbaik untuk rumah anda?

Untuk mengetahuinya, Tajria hari ini ingin berkongsikan kepada anda beberapa perbezaan utama antara lantai laminat dan juga lantai vinil. Melaluinya, anda boleh pertimbangkan sama ada salah satu daripada lantai ini dapat memenuhi keperluan anda atau sebaliknya.

Apa Itu Lantai Laminat?

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1970-an, lantai laminat hadir dengan binaan kayu yang keras dan ianya menjadi kegemaran ramai individu disebabkan oleh ketahanannya. Tidak seperti apa yang digambarkan pada rupa, laminat tidak diperbuat daripada kayu asli, tetapi ia sebenarnya dihasilkan daripada campuran bahan sintetik yang mempunyai komposisi yang tebal.

Dengan ini, lantai laminat boleh berfungsi dengan baik walaupun digunakan di laluan atau ruang yang kerap dikunjungi individu. Namun, harus diingatkan, walaupun lantai ini kalis air tetapi ia masih boleh rosak sekiranya terdedah kepada air untuk tempoh yang lama.

Apa Itu Lantai Vinil?

Sementara lantai vinil standard pula biasanya terdiri daripada empat lapisan bahan. Antara lapisan utama pada vinil ini adalah lapisan bawahnya yang mana ia diperbuat daripada gabus atau kusyen.

Mengapa lapisan ini penting? Hal ini kerana lapisan bawah direka sebagai lapisan asas yang tidak memerlukan anda untuk memasang bahan lain sebelum meletakkannya selain turut menjadi penghalang bunyi untuk mengelakkan bunyi bising ketika berjalan di atasnya.

Sama seperti lantai lamina, vinil juga diperbuat daripada bahan sintetik. Namun, apa yang membezakannya adalah bahan di dalam lantai laminat terdiri daripada bahan HDF (high density fibre) yang membuatkannya lebih mudah kembang dan rosak berbanding vinil.

Lantai vinil dahulunya terhad dalam pilihan reka bentuk, tetapi ia kini telah dinaik taraf kepada pelbagai gaya dan corak untuk penampilan yang lebih moden dan menarik. Anda bukan sahaja boleh mencari vinil yang menyerupai kayu, tetapi juga corak-corak lain seperti batu dan juga seramik.

Jadi, Apakah Lantai Terbaik Untuk Setiap Bilik: Laminat Atau Vinil?

Bergantung pada fungsi bilik dan aktiviti di ruangan tersebut kerana anda mungkin memerlukan bahan lantai tertentu.

BilikLaminat Atau Vinil?
DapurLaminat, Vinil
Bilik airVinil
Bilik tidurLaminat, Vinil
Ruang makanLaminat, Vinil
Ruang santaiLaminat, Vinil
Ruang pakaianVinil

Lantai laminat adalah pilihan yang baik untuk tempat yang tidak terdapat banyak kelembapan. Sementara vinil pula ialah pilihan yang lebih sesuai untuk ruangan atau bilik yang banyak tumpahan dan percikan.