Dior adalah salah satu jenama pakaian mewah yang cukup aktif dalam menampilkan penawaran serba baharu kepada umum.

Kini, tidak hanya memfokuskan kepada pakaian fizikal yang boleh anda dapatkan di cawangan butik eksklusif mereka, Dior nampaknya bakal melancarkan pakaian digital pertama untuk permainan video Gran Turismo 7 pada 25 Ogos 2022.

Kerjasama antara Dior dan permainan Gran Turismo ini telah diumumkan pada 30 Julai lalu sewaktu acara Pertunjukan Siri Dunia Gran Turismo 7 di Salzburg, Austria berlangsung.

Ia menyaksikan hasil produk yang dikelolakan oleh Kim Jones yang merupakan pengarah artistik koleksi lelaki Dior. Beliau hadir dengan kosmetik eksklusif yang akan digunakan oleh pemain dalam permainan yang merangkumi sut lengkap berserta topi keledar, sarung tangan dan kasut.

Untuk sut yang yang ditawarkan, Kim Jones telah memilih warna kuning dan kelabu sebagai warna utama dan menggabungkannya bersama corak serong Dior dan logo Christian Dior Atelier Avenue Montaigne. Berdasarkan imej sut yang dikongsikan, Dior dilihat menggunakan fabrik baldu bagi memberikan tekstur yang kelihatan lebih mewah pada sut berkenaan.

Pada bahagian belakang pemain pula, Dior memilih nombor 47 untuk diletakkan pada pakaian yang mana nombor tersebut adalah pertunjukan fesyen pertama yang dilaksanakan oleh pengasar Dior pada tahun 1947. Tidak hanya itu, nombor yang sama turut digunakan pada pada kereta vintaj rekaan Kim Jones, De Tomaso Mangusta.

Membezakannya adalah Kim Jones menggunakan warna yang terang untuk sut, manakala kereta vintaj pula hadir dengan warna kuning pastel dengan aksen jalur kelabu muda. Selain sut dan kereta, Dior melengkapkan penampilan dengan penawaran sarung tangan dan kasut khas “Diorizon” yang juga menampilkan corak serong ikonik dengan teks ‘Dior’.