ATLAS Vending dengan kerjasama Media Mulia Sdn Bhd, iaitu penerbit Kosmo! dan Utusan Malaysia melaksanakan program rintis yang akan menjual akhbar fizikal melalui mesin layan diri di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang iaitu hab pengangkutan KL Sentral dan stesen LRT Bangsar serta Ampang Park.

Tidak hanya tertumpu kepada penawaran snek dan minuman, nampaknya ATLAS Vending kini melihat kepada cabang yang lebih luas dengan menjadikan mesin layan diri mereka yang pertama di Malaysia menawarkan penjualan akhbar melaluinya.

Melalui kerjasama perintis ini, mesin-mesin terbabit ditempatkan di laluan transit utama penduduk Lembah Klang yang akan menawarkan kemudahan kepada mereka yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam untuk mendapatkan bahan bacaan akhbar harian, tanpa perlu berkunjung ke gerai akhbar, kedai serbaneka ataupun stesen minyak.

Dengan mesin layan diri yang beroperasi 24 jam, para pengguna boleh mendapatkan naskhah dua akhbar harian popular ini lebih awal sebelum kedai-kedai dibuka. Sebagai tambahan, setiap belian naskhah Kosmo! atau Utusan Malaysia yang dijual melalui mesin layan diri ini akan mendapat dua paket Kopi Segera WONDA secara percuma.

Menurut ATLAS Vending, penawaran kopi percuma ini selari dengan gaya hidup moden bagi kebanyakan individu dengan memulakan hari mereka dengan secangkir kopi. Justeri, ia bukan sahaja menggalakkan semula amalan membaca surat khabar fizikal tetapi juga menawarkan pengalaman yang lebih seimbang kepada masyarakat.

Untuk pembayaran akhbar pula, mesin layan diri ini dilengkapi dengan sistem pembayaran yang mudah dan cepat yang mana anda tidak perlu beratur di kaunter sebaliknya menggunakan bayaran nirtunai melalui e-dompet, kad kredit atau debit.