Carian
Siput Dengan Perisai Bersisik Ditemui Di Lautan Hindi – Sisiknya Berfungsi Sebagai Pelindung Maut
August 15, 2022 Lina Rosli

Ditemui di Lautan Hindi, seekor siput dengan rupa tubuh yang unik telah menarik perhatian ramai pihak yang mana pada keseluruhan badannya terdapat kulit luaran yang kelihatan seperti perisai.

Menurut ZM Science, mereka mempercayai bahawa siput tersebut mempunyai gaya hidup yang ekstrem sehingga menyebabkan rongga-rongga pada badan mereka mengeluarkan kimia yang membentuk sisik besi dan melekat pada cengkerang.

Lebih dikenali sebagai gastropod kaki bersisik, C. squamiferum ialah spesies siput hidroterma-vent laut dalam yang tinggal di kedalaman laut sekitar 2,400 meter hingga 2,800 meter di perairan Hindi. Ia merupakan siput pertama di dunia yang dijumpai mempunyai sisi seakan perisai di sekeliling badan.

Berdasarkan kajian saintis, siput ini telah dikategorikan sebagai spesies terancam yang mana amatlah sukar untuk ditemui di laut dalam pada masa kini. Tambah saintis lagi, sisik besi yang ditemui pada siput tersebut bukanlah digunakan untuk melindungi daripada serangan pemangsa tetapi untuk mengelakkan ancaman toksik yang datang dari dalam badan.

Dalam kajian yang dijalankan, C. squamiferum ini mempunyai bakteria yang tersimpan di dalam tekak yang mana ia akan mengeluarkan sulfur sebagai bahan buangan sehingga boleh membawa maut kepada siput jika tidak dilindungi daripada tubuh.

Oleh itu, dengan kehadiran sisik besi sebagai perisai, ia bertindak sebagai paip ekzos kecil yang akan menarik sulfur berbahaya dari tisu lembut siput dan mendepositkannya sebagai sebatian berasaskan besi yang tidak berbahaya untuk tubuh dan juga hidupan laut lain.

Komen