Tahukah anda, baru-baru ini kajian menunjukkan pengambilan kopi dikaitkan dengan risiko kerosakan buah pinggang yang lebih rendah?

Menurut penyelidik di John Hopkins Medicine di Baltimore, mereka mendapati bahawa individu yang minum sekurang-kurangnya satu cawan kopi setiap hari mempunyai risiko yang lebih rendah iaitu sekitar 15 peratus untuk alami kecederaan buah pinggang akut (AKI) berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

Dan risiko AKI ini akan menjadi 23% lebih rendah sekiranya individu yang menikmati dua atau tiga cawan kopi setiap hari. Hasil ini dilihat sama dan konsisten tidak kira umur, jantina, bangsa, pendidikan, aktiviti fizikal, pengambilan rokok dan alkohol serta rutin diet setiap hari.

Kafein merupakan bahan aktif dalam kopi, dan sekiranya ia diambil dalam kuantiti yang sederhana, kafein boleh membantu meningkatkan tahap tenaga dan meningkatkan metabolisma anda untuk membantu dalam pembakaran lemak. Oleh itu, secara keseluruhan, kafein dikatakan tidak merosakkan buah pinggang anda selagi ia diambil dalam dos yang kecil.

Bagi setiap individu, anda disarankan untuk tidak mengambil kopi harian melebihi 3 hingga 4 cawan yang mengandungi antara 100-200 mg kafein di dalamnya. Ini bertujuan untuk memastikan tiada peningkatan risiko penyakit buah pinggang dari masa ke semasa.

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kafein adalah perangsang, yang boleh menjejaskan tekanan darah sesetengah orang. Jika anda mempunyai tekanan darah tinggi atau berisiko untuk mendapat tekanan darah tinggi, dapatkan nasihat doktor sama ada selamat untuk anda mengambil kafein atau kopi dan berapakah kuantiti maksima untuk setiap cawan.

Selain daripada kopi, minuman berkafein lain seperti teh atau soda turut mempunyai kelebihan yang sama untuk kesihatan buah pinggang. Namun, harus diingatkan bahawa hasil dapatan boleh berubah sekiranya kopi atau kafein diambil bersama bahan tambahan lain seperti susu atau pemanis yang boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang.