Lina Rosli Diterbitkan 8 August 2022

Sprite Tidak Lagi Menawarkan Minuman Dalam Botol Hijau

Coca-Cola secara rasmi mengumumkan bahawa mulai 1 Ogos, Sprite akan menghentikan sepenuhnya jualan botol plastik hijau ikoniknya yang digunakan selama lebih daripada 60 tahun.

Menurut Coca-Cola, penggunaan botol berwarna jernih ini adalah bertujuan untuk membawa produk mereka ke arah lestari. Di Malaysia, jualan Sprite menggunakan rekaan botol baharu ini telahpun dilakukan secara berperingkat.

Tambah mereka lagi, peralihan ini akan membantu meningkatkan ketersediaan rPET gred makanan kerana menurut Coca-Cola, botol PET Sprite serba baharu ini dijamin boleh dibuat semula menjadi botol lain yang baharu.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada visi “Dunia Tanpa Sisa” Coca-Cola yang ingin menjadikan 100% pembungkusan mereka boleh dikitar semula menjelang 2025 dan mempunyai lebih daripada 25 peratus minuman mereka dijual dalam pembungkusan yang boleh diisi semula atau boleh dikembalikan menjelang 2030.

Tidak sekadar menggunakan botol yang lebih mesra alam sekitar, Sprite turut hadir dengan logo yang telah dijenamakan semula yang mana ia menampilkan teks Sprite yang kelihatan segar dan moden. Namun, berdasarkan imej botol, elemen visual ikonik Sprite masih dikekalkan seperti warna hijau dan kuning.