Bagi yang tidak mengetahui, Circulose ialah bahan mentah terbiodegradasi yang digunakan untuk menghasilkan gentian tekstil untuk fesyen seperti viscose dan lyocell yang diperkenalkan oleh Renewcell.

Dengan penggunaan Circulose, ia sedikit sebanyak membantu jenama pakaian dalam mengehadkan penggunaan gentian tekstil pertama (first-made textile), yang sekaligus mengurangkan kesan iklim dan alam sekitar yang disebabkan oleh penghasilan fabrik dan sisanya.

Menjadi antara jenama fesyen yang terbesar di dunia, Zara hadir dengan perancangan untuk beralih ke arah lestari dan mesra alam sekitar dengan melakukan kolaborasi bersama Renewcell bagi menghidupkan visi mereka dalam mengubah fesyen secara berskala besar.

Bagi Zara, kerjasama itu adalah sebahagian daripada Hab Inovasi Kelestarian Inditex. Ia adalah platform inovasi terbuka yang menempatkan syarikat baharu, institusi akademik dan pusat teknologi yang berfungsi mempromosikan inisiatif pembangunan bahan fesyen, teknologi dan proses baharu yang mengurangkan jejak alam sekitar sekaligus membantu memajukan ke arah pengeluaran yang lebih lestari.

Dengan adanya hab ini, Zara dapat mengitar semula sisa tekstil, termasuk seluar jeans usang dan sisa pengeluaran, untuk mengeluarkan 60,000 tan metrik pulpa pelarut Circulose setahun. Bergerak ke hadapan, Zara dijangka berpotensi menyelamatkan ratusan juta pakaian daripada tapak pelupusan sampah dan pembakaran setiap tahun selain turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau daripada industri tekstil.