Carian
7 Mitos Mengenai Kucing Yang Perlu Diketahui
August 9, 2022 Lina Rosli

Kucing merupakan antara haiwan yang sangat digemari dan disukai kebanyakan pencinta haiwan. Ini mungkin disebabkan perwatakan mereka yang ceria di samping mempunyai features atau rupa paras comel menjadikan kucing sentiasa berada di kedudukan teratas di dalam senarai haiwan yang ingin dibela.

Namun, sebagai pencinta haiwan atau lebih spesifik pemilik kucing, anda seharusnya mengetahui dan memahami keperluan utama kucing. Hal ini bagi memastikan kucing anda menerima perkara utama mengenai kucing. Antaranya termasuklah:

  • Tabiat dan rutin harian kucing seperti waktu bermain, waktu tidur dan waktu makan.
  • Keperluan mental dan fizikal kucing seperti tempat tidur, alat mainan dan pencakar, jenis makanan dan lain-lain.
  • Kesihatan dan penjagaan kucing seperti pemeriksaan kesihatan, pengambilan vaksin, grooming dan juga banyak lagi.

Apabila kesemua perkara ini telah dipenuhi dengan baik, maka ia menunjukkan anda sudah bersedia untuk menjadi pemilik kucing yang pengasih dan penyayang. Namun, anda harus berhati-hati dengan penyebaran mitos-mitos yang dipercayai sebilangan pemilik kucing.

Untuk mengetahui lanjut mengenai mitos ini, Tajria akan kongsikan beberapa kepercayaan yang perlu anda hindari atau mula praktikkan sewaktu memelihara kucing.

7 Mitos Mengenai Kucing Yang Perlu Anda Ketahui

#1 Mitos: Kucing memerlukan susu sebagai minuman untuk setiap hari.

Ini adalah tidak benar. Hakikat sebenarnya, kebanyakan kucing tidak mempunyai daya toleransi terhadap laktosa lebih-lebih lagi jika anda memberi mereka minum susu lembu.

Hal ini kerana, kucing tidak mempunyai enzim (laktase) dalam usus mereka yang membantu mencerna gula dalam susu (laktosa). Jadinya, apabila susu tidak diproses dengan sempurna, ia sekaligus akan memberikan kesan kepada kesihatan seperti komplikasi muntah, cirit-birit dan sakit perut.

Untuk pengetahuan anda juga, susu tidak tergolong dalam menu pemakanan kucing. Namun, sebagai ganti, anda boleh memberikan kepada mereka susu khas untuk kucing. Biasanya, susu ini mengandungi lebih sedikit atau bebas laktosa. Tetapi harus diingatkan juga, pemberian secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kepada buah pinggang mereka.

#2 Mitos: Kucing sentiasa boleh mendarat dengan baik walaupun dari tempat yang tinggi.

Ini adalah kepercayaan yang tidak benar. Kucing tidak selaluinya dapat mendarat dengan baik dan mereka juga berisiko mengalami kecederaan atau patah tulang sekiranya terjatuh daripada tempat yang tinggi.

Oleh itu, bagi pemilik kucing yang tinggal di kawasan rumah kondominium atau rumah pangsa, pastikan anda melindungi haiwan anda dengan memasang pagar atau jaring di balkoni dan tingkap anda supaya dapat menghindarkan mereka daripada terjatuh dari tempat tinggi.

#3 Mitos: Kucing yang dimandulkan boleh bertambah berat badan secara automatik.

Sama seperti manusia atau pemilik kucing, memandulkan kucing tidak akan memberi kesan kepada pertambahan berat badan.

Berat badan hanya akan bertambah sekiranya kucing makan terlalu banyak atau tidak cukup bersenam. Namun harus diingatkan, apabila haiwan dimandulkan, metabolismanya menjadi perlahan dan keperluannya untuk makanan berkurangan.

Jadi, sekiranya anda memberikan kucing anda kuantiti makanan yang sama, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada berat mereka. Untuk mengelakkanya, pastikan anda kerap membawa kucing anda bersenam atau melakukan aktiviti seperti bermain dan berlari kerana menerusinya, ia dapat membantu kucing kekal cergas.

#4 Mitos: Kucing tidak boleh mendapat rabies.

Tidak benar. Kucing tidak terkecuali daripada terkena serangan rabies atau penyakit anjing gila. Perkara ini sering berlaku pada mana-mana haiwan mamalia yang berdarah panas. Dan kucing juga termasuk di dalam kumpulan berkenaan.

Oleh itu, setiap mamalia berdarah panas seperti kucing, anjing, arnab dan sebagainya perlu diberi vaksin secara berkala.

#5 Mitos: Kucing mempunyai antibodi yang kuat dan sukar untuk sakit

Pastikan anda kerap melakukan pemeriksaan kesihatan untuk kucing anda. Ini bertujuan untuk anda mengetahui lebih awal sekiranya kucing anda mengalami sebarang penyakit yang mudah atau sukar diubati.

Kucing juga tidak lari daripada jatuh sakit akibat penyakit bawaan udara ataupun air. Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda sentiasa membersihkan kawasan main, tidur dan makan kucing supaya risiko jangkitan dapat dikurangkan. Periksa juga najis kucing bagi mengetahui sama ada terdapat masalah pada sistem percernaan ataupun kualiti makanan yang disediakan.

#6 Mitos: Kucing boleh menyembuhkan diri mereka sendiri dengan menjilat luka mereka.

Jangan percaya akan perkara ini kerana bagi setiap luka yang dialami kucing turut mempunyai proses sembuh yang sama seperti manusia.

Luka pada kucing sebenarnya perlu dirawat dan dibersihkan dengan baikn supaya ia tidak melarat dan menjadi lebih terus akibat daripada bakteria dan parasit.

Untuk pengetahuan anda, air liur kucing boleh menjadi punca atau faktor yang melambatkan proses pengeringan luka. Oleh yang demikian, bawa kucing berjumpa dengan doktor haiwan bagi memastikan mereka mendapatkan rawatan yang sebetulnya.

#7 Mitos: Kucing akan kotor walaupun selepas dimandikan.

Rata-rata individu sering memandang remeh akan keperluan mandi dalam kalangan kucing. Hal ini kerana mereka beranggapan kucing akan pergi ke tempat kotor selepas dimandikan dan menjadikannya sebagai alasan untuk biarkan mereka kotor.

Hakikat sebenarnya, memandikan kucing adalah penting namun perlu dilakukan dengan teliti dan tidak melakukannya dengan kerap. Antara perkara yang wajib anda ketahui, elak daripada menggunakan syampu manusia yang boleh menjadi toksik kepada kucing. Anda boleh mendapatkan syampu kucing dari kedai haiwan peliharaan atau doktor haiwan anda.

Selain itu, potong kuku kucing anda sehari sebelum memandikannya untuk mengurangkan kerosakan atau menyebabkan kecederaan kepada pemilik kucing sewaktu proses mandi.

Komen