Apabila bercakap tentang keselamatan makanan, terdapat banyak kekeliruan di luar sana mengenai makanan yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Biasanya, kita mempunyai tanggapan yang mana ayam atau telur adalah penyumbang kepada gejala Salmonella. Namun, tahukah anda bahawa sayur-sayuran juga sebenarnya turut boleh menyebabkan keracunan makanan serta menjadi antara penyumbang terbesar kepada penyakit bawaan makanan?

Tauge Boleh Menyebabkan Wabak Salmonella dan E. coli.

Menurut perkongsian di laman kerajaan Canada, alfalfa mentah dan tauge antara makanan yang paling mungkin menyebabkan keracunan makanan, dan taugeh telah disiasat sebagai sumber wabak bawaan makanan yang sering menjadi bualan dunia iaitu Salmonella dan E. coli.

Oleh itu, sekiranya anda ingin menambah tauge ke dalam hidangan, pastikan ia tidak bersentuhan dengan bakteria berbahaya. Kebiasaannya, jangkitan bakteria boleh berlaku di:

  • dalam persekitaran ladang
  • semasa pembungkusan
  • semasa penyimpanan
  • semasa pengangkutan
  • semasa penyediaan/memasak melalui pencemaran silang

Anda juga disarankan untuk memasak tauge atau mana-mana sayuran di dalam keluarga ini secara teliti. Memanaskan pucuk pada haba yang tinggi dilihat boleh membunuh kebanyakan bakteria berbahaya dan mengurangkan risiko keracunan makanan anda. Elakkan beli tauge yang telah terdedah lama di luar dan tidak disimpan sebaiknya di dalam peti.

Mengapa Tauge Berbahaya?

Tauge merupakan pucuk sayuran yang tumbuh paling baik dalam keadaan hangat dan lembap. Oleh sebab itu, ia cenderung menjadi tempat pertumbuhan kuman.

Hal ini menyebabkan ia tidak sesuai untuk mentah kerana penyediaan tanpa memasak tauge boleh mengakibatkan keracunan makanan daripada Salmonella, E. coli, atau Listeria. Untuk pengetahuan anda juga, kebanyakan kes penyakit bawaan makanan yang disebabkan oleh tauge secara amnya cenderung datang daripada benih.

Jadinya, anda dinasihatkan untuk membersihkan dan memotong mana-mana bahagian yang telah lebam atau bertompok hitam pada tauge. Dan adalah lebih baik jika anda tidak mencampurkannya dan membuangnya terus daripada hidangan.