Lina Rosli Diterbitkan 10 August 2022

Adakah Anda Memakai Kasut Yang Salah Sewaktu Bersukan?

Adakah anda tergolong dalam kalangan individu yang mungkin mengambil perhatian khusus untuk memilih kasut kerja yang selesa tetapi memandang remeh akan keperluan kasut senaman yang bersesuaian untuk aktiviti?

Memakai kasut yang salah semasa bersukan ataupun bersenam berkemungkinan besar boleh memberikan kesan yang buruk diri dan juga kasut. Hal ini kerana, penggunaan kasut yang salah boleh mengganggu keselesaan kaki sekaligus menyebabkan kemudaratan pada anggota tubuh.

Malah, kasut yang tidak dipakai di kawasan yang betul juga cenderung untuk mengalami penurunan kualiti dan juga jangka hayat penggunaan.

Sebagai contoh, memakai kasut dengan tapak nipis sewaktu mendaki bukit atau gunung boleh menimbulkan risiko kecederaan pada tumit dan buku lali. Sementara memakai kasut yang berat dan tebal sewaktu berlari atau bermain badminton pula boleh menyebabkan kesukaran pergerakan sekaligus mengganggu kelancaran melompat dan sebagainya.

Perkara yang lebih merisaukan adalah sekiranya anda memakai kasut latihan yang tidak bersesuaian ketika joging, kaki lebih cenderung berasa sangat sakit dan boleh mengakibatkan kecederaan jangka masa panjang seperti shin splints, plantar fasciitis dan banyak lagi.

Mengapa Penting Memilih Kasut Sukan Yang Baik Untuk Kaki?

Pakar bersetuju bahawa memilih kasut sukan yang betul adalah sama pentingnya dengan senaman itu sendiri. Kedudukan kaki anda semasa bersenam mempengaruhi penjajaran setiap bahagian lain, otot dan sendi serta badan anda.

Oleh itu, setiap individu perlu melakukan regangan kaki kerana perlaksanaan regangan yang baik boleh membantu menguatkan otot kaki selain meredakan kesakitan jangka pendek. Namun, harus diingatkan bahawa pemilihan kasut yang salah tetap tidak boleh membatalkan kerosakan sebenar pada kaki.

Jadikan kasut anda berfungsi untuk senaman anda, dan bukan sebaliknya yang mendatangkan kemudaratan kepada anda. Latihan yang berbeza memerlukan jenis pergerakan yang berbeza dari badan anda, dan kasut senaman yang terbaik direka khusus untuk memberikan sokongan yang tepat pada sudut yang betul.

Jika anda tidak pasti, dapatkan bantuan daripada pakar kasut di kedai. Apabila kaki dan buku lali anda berasa stabil, selamat dan kuat, anda akan mendapatkan hasil senaman yang lebih baik dan lebih selamat secara keseluruhan.